Luah Rasa Rindu, Kamal Adli Bersyukur Dapat Luangkan Masa Dengan Anak – “Terima Kasih Uqasha Kerana…”

Luah Rasa Rindu, Kamal Adli Bersyukur Dapat Luangkan Masa Dengan Anak – “Terima Kasih Uqasha Kerana…”


Pelakon Kamal Adli meluahkan rasa syukur apabila akhirnya berpeluang bertemu anak perempuannya, Hawra Uqaira.

Walaupun pertemuan itu hanya berlangsung beberapa jam, Kamal menganggap momen singkat berkenaan sudah cukup besar ertinya buat diri.

“Sudah dua minggu saya tak berjumpa dengan Hawra. Saya kini sedang menjalani penggambaran filem Takluk 2 di Kuantan. Hari ini, sebelum saya datang ke sini untuk acara Jakel Raya 2026, saya sempat jumpa Hawra dulu.

“Itu yang buat saya sedikit lewat tadi sebab saya ambil masa bermain dengannya. Rasa seronok sangat dapat jumpa semula selepas beberapa minggu tak berjumpa,” katanya kepada XTRA.

Kamal ditemui pada pertunjukan fesyen Jakel Raya 2026 dan pengumuman Duta Paling Mega Jakel di Jakel Mall, Kuala Lumpur, sebentar tadi.

ARTIKEL BERKAITAN; Sah Cerai Talak Satu, Kamal Adli Akui ‘Hancur’?

Dalam masa sama, Kamal menyatakan penghargaan kepada bekas isterinya, aktres Uqasha Senrose kerana memberi ruang untuk dia meluangkan masa bersama anak mereka.

“Bila dapat jumpa Hawra hari ini, saya nak ucap terima kasih kepada Uqasha kerana benarkan saya luangkan masa dengan Hawra.

“Hari ini saya memang gembira. Saya dapat bersama dia beberapa jam, dari kira-kira 2 petang sampai 5.30 petang.

“Sekarang setiap kali ada masa lapang, saya akan jumpa. Kebetulan hari ini saya memang ada masa lapang sebelum ke acara Jakel. Saya baru sampai dari Kuantan dan terus pergi jumpa Hawra dulu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Bod*h Lah Macam Ni! Nak Buat Fitnah Pun Agak-Agak Lah”- Kamal Adli Berang, Nafi Gaduh Dengan Uqasha Isu Main Futsal

Kamal juga menegaskan keutamaannya ketika ini adalah memastikan hubungan dengan anak terus rapat walau apa pun keadaan.

“Bila ada masa terluang, saya akan cuba cari ruang untuk jumpa Hawra, itu saja.

“Setiap kali saya turun Kuala Lumpur, saya akan jumpa anak dulu. Lepas itu saya kena bergerak semula sebab perlu sambung penggambaran di Lumut,” katanya.

Pada masa sama, Kamal turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang sentiasa memberikan sokongan serta kata-kata semangat kepadanya.

“Saya nak ucap terima kasih banyak-banyak dan ambil peluang ini untuk hargai semua yang tinggalkan kata-kata baik untuk saya.

“Terutama di media sosial saya sendiri, ramai sangat yang mendoakan dan bagi semangat supaya saya terus kuat,” katanya.

Sebelum ini, Kamal menerusi perkongsian di media sosial meluahkan rasa rindu kerana sudah lama tidak bertemu Hawra.

Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pada Isnin lalu.

Pasangan itu bernikah pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia setahun lapan bulan.



Source link

OR

Scroll to Top