Luahan jiwa T-Rex angkat kisah perantau

Luahan jiwa T-Rex angkat kisah perantau


Bekas vokalis kumpulan Kamikaze, T-Rex kembali mencuri perhatian apabila tampil dengan single terbaharu, Anak Borneo yang sarat dengan emosi, kenangan dan kecintaan terhadap tanah kelahirannya di Borneo.

Selepas lebih 25 tahun bergiat dalam dunia seni, T-Rex akhirnya merealisasikan sebuah karya yang sekian lama tersimpan sebagai impian peribadinya.

Menurut T-Rex, lagu berkenaan bukan sekadar karya muzik biasa, sebaliknya luahan jiwa yang menggambarkan perjalanan hidup serta identiti dirinya sebagai anak kelahiran Borneo.

“Anak Borneo ini bukan sekadar lagu untuk saya. Ini adalah karya yang saya simpan selama 25 tahun. Walaupun jauh merantau, hati saya tetap pada Borneo,” katanya.

Dilahirkan di Kuching, Sarawak, T-Rex mempunyai latar belakang darah campuran Cina dan pribumi tempatan, dengan neneknya berasal daripada komuniti asal Borneo.

Latar belakang itu menjadikan dia cukup dekat dengan budaya, alam semula jadi dan kehidupan masyarakat di Borneo yang menjadi inspirasi utama dalam penghasilan lagu terbabit.

Anak Borneo mengangkat kisah seorang perantau yang sentiasa terikat dengan tanah asalnya serta tidak pernah melupakan akar budaya dan warisan keluarga.

Dalam pada itu, karya berkenaan turut memperlihatkan kolaborasi berterusan antara T-Rex dan penerbit, Melissa Ng yang sebelum ini pernah bekerjasama dalam beberapa projek muzik.

Melissa pula menyuntik sentuhan susunan muzik moden dengan elemen sinematik dan lapisan emosi yang kuat, sekali gus menghidupkan lagi jiwa Borneo dalam karya kontemporari berkenaan.

Muizk video rasmi Anak Borneo menjalani penggambaran di beberapa lokasi alam semula jadi di Selangor yang menampilkan elemen budaya Borneo dan visual sinematik yang menyentuh perasaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top