Lubang benam gemparkan penduduk

Lubang benam gemparkan penduduk


London: Penduduk sebuah kampung di tenggara England pada Rabu dikejutkan dengan kejadian lubang benam besar di jalan utama dan ia semakin membesar hingga memaksa pemindahan penduduk.

Lubang pertama muncul di jalan utama Kampung Godstone pada lewat Isnin dan ia terus melebar hingga lebih 20 meter (m) panjang atau kira-kira sepanjang ikan paus biru.

Lubang kedua kemudian muncul pada Rabu di jalan sama, menjejaskan puluhan rumah.

Beberapa keluarga sudah dipindahkan. Majlis Daerah Surrey mengisytiharkan kejadian itu sebagai “insiden besar,” walaupun tiada kecederaan dilaporkan.

Imej dirakam dron menunjukkan satu daripada lubang dipenuhi air.

Pemilik bengkel, Shane Fry, yang kedainya terletak kira-kira 200 m dari lokasi kejadian berkata, lubang pertama itu “kelihatan seperti sebuah kolam.”

“Kejadian secara tiba-tiba itu seperti tak masuk akal, tetapi saya cuba untuk berfikiran rasional,” kata Fry, 34, kepada AFP.

Dia yang bimbang mengenai implikasi kejadian terhadap perniagaannya, menggesa pihak berkuasa segera menjalankan kerja-kerja pembaikan.

Punca lubang benam masih tidak jelas dan pegawai sudah diarah menjalankan siasatan.

Antara teori yang dipertimbangkan termasuk bebanan trafik, paip air pecah dan struktur batuan di bawah jalan.

“Situasi ini masih dinilai oleh pakar struktur bagi menguruskan risiko dan memahami langkah yang perlu diambil untuk memastikan keselamatan seterusnya menjalankan kerja-kerja pembaikan,” kata Penolong Pengarah Majlis Daerah, Carl Bussey, dalam satu kenyataan.

Lubang benam yang besar jarang berlaku di Britain, di mana penduduk sering merungut mengenai lubang kecil di jalan mereka.

Di Jepun yang sering mengalami masalah saluran pembetungan lama dan cuaca ekstrem, ribuan kejadian lubang benam dilaporkan setiap tahun.

Awal bulan ini, sebuah kawah selebar 40 m terbentuk berhampiran Tokyo, ‘menelan’ satu trak bersama pemandunya yang berusia 74 tahun yang dipercayai maut dalam kejadian itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top