'Lubang itu kembali dipenuhi air walaupun sudah ditampal' – Bapa dua pelajar terkorban langgar lubang jalan

'Lubang itu kembali dipenuhi air walaupun sudah ditampal' – Bapa dua pelajar terkorban langgar lubang jalan



am@hmetro.com.my

Kulai: Lubang yang mengorbankan dua pelajar Jumaat lalu di laluan Kulai-Felda Inas-Bandar Tenggara sudah ditampal namun kualitinya menimbulkan persoalan pengguna.

Tinjauan di laluan itu tengah hari tadi mendapati pekerja konsesi sedang sibuk melakukan kerja menampal semula lubang.

Difahamkan kerja menampal laluan itu sudah dilakukan Sabtu lalu selepas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor yang meninjau laluan itu berang dengan keadaan laluan berlubang teruk.

Bagaimanapun, tinjauan di laluan itu hari ini mendapati tampalan sudah berlekuk dipercayai dilalui kenderaan berat malah terdapat rekahan di sekitar tampalan lubang.

Bapa dua pelajar yang terkorban, Kamaruzaman Omar, 53, berkata, lubang di lokasi kemalangan berkenaan digenangi air ketika dia melaluinya awal pagi tadi untuk ke tempat kerja.

Katanya, begitulah keadaannya lubang di laluan berkenaan apabila kemalangan meragut nyawa dua anaknya.

“Apabila pengguna melalui laluan berkenaan kadang kala tak perasan ada lubang kerana sudah dipenuhi air.

“Pagi tadi pun begitu, lubang itu dipenuhi air walaupun sudah ditampal. Saya tahu lubang itu selepas tragedi menimpa anak saya, namun pengguna lain mungkin tidak tahu.

“Pihak konsesi atau yang bertanggungjawab mungkin perlu membina saliran atau longkang di bahu jalan ini kerana setiap kali hujan memang ia akan digenangi air sekali gus mungkin merosakkan lagi jalan walaupun sudah ditampal atau diturap semula,” katanya.

Jumaat lalu, media melaporkan dua beradik berusia 17 dan 16 tahun terbunuh dalam perjalanan ke sekolah selepas motosikal dinaiki terlanggar lubang di Jalan Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara.

Dalam kejadian jam 8.20 pagi itu, kedua mangsa dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pinang di Bandar Tenggara.

Sementara itu, pengguna laluan, Ismail Abu, 48, berkata, keadaan laluan berkenaan yang sering berlubang menimbulkan persoalan dari segi kualiti kerja tampalan atau penurapan.

“Saya tak pasti dari segi teknikal tapi laluan di sini akan kembali rosak dan berlubang selepas dua tiga hari kerja tampalan dan turapan dibuat.

“Mungkin perlu gunakan teknik lain kerana laluan ini sering digunakan kenderaan berat hampir setiap hari kerana terdapat kilang proses kelapa sawit dan kilang pasir di sini.

“Apabila jalan dah berlubang dan rosak selalunya akan terbiar seminggu dua barulah akan dibaiki semula. Harapnya tragedi Jumaat lalu membuka mata semua pihak supaya pemantauan jalan perlu dilakukan sentiasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top