Lufthansa sambung semula penerbangan terus Frankfurt–KL Oktober ini

Lufthansa sambung semula penerbangan terus Frankfurt–KL Oktober ini


rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Syarikat Penerbangan Lufthansa German akan menyambung semula perkhidmatan penerbangan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula Oktober depan, sekali gus menghubungkan semula Kuala Lumpur dengan Frankfurt.

Perkhidmatan baharu itu dijangka mengukuhkan lagi hubungan penerbangan terus antara Malaysia dan Eropah selain memperkukuhkan peranan KLIA sebagai hab serantau utama.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani, ia adalah usaha berterusan pihaknya dalam memperluas rangkaian global melalui kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan.

“Penyambungan semula perkhidmatan Lufthansa ke KLIA adalah pengukuhan berterusan rangkaian hubungan kami serta peningkatan permintaan terhadap penerbangan terus antara Malaysia dan Eropah.

“Kami kekal berusaha untuk memperluas kerjasama dengan syarikat penerbangan dalam memperluas rangkaian dan menyokong aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara paling berhubung di rantau Asia Pasifik.

“Peningkatan hubungan penerbangan akan memainkan peranan penting dalam menarik kedatangan pelawat selaras kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus memudahkan perjalanan perniagaan serta mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pintu masuk serantau,” katanya dalam kenyataan.

Lufthansa dijadual melaksanakan lima penerbangan seminggu menggunakan pesawat Boeing 787-9 Dreamliner yang menawarkan 287 tempat duduk merangkumi kabin premium dan ekonomi.

Selain itu, perkhidmatan berkenaan turut meningkatkan kehadiran pakatan Star Alliance di KLIA kepada 10 syarikat penerbangan ahli, sekali gus menambah baik rangkaian sambungan dan peluang pemindahan penumpang.

Melalui habnya di Frankfurt, Lufthansa turut menawarkan sambungan penerbangan ke beberapa destinasi utama Eropah termasuk Switzerland, Austria, Belgium, Itali dan Eropah Timur.

Perkhidmatan itu juga menyediakan kapasiti tambahan kargo di ruang perut pesawat yang dijangka menyokong eksport Malaysia serta mengukuhkan aliran perdagangan antara Malaysia dan Eropah.

Ketika ini, KLIA menempatkan 71 syarikat penerbangan yang menghubungkan penumpang ke 143 destinasi di seluruh dunia, dan kemasukan semula Lufthansa akan memperluas pilihan perjalanan bagi pelancong serta pengembara perniagaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top