Luke Shaw akui Manchester United kini berada pada tahap terendah

Luke Shaw akui Manchester United kini berada pada tahap terendah


PEMAIN pertahanan Manchester United, Luke Shaw, mengakui kelab itu kini berada pada titik terendah selepas kekalahan kepada Tottenham Hotspur dalam perlawanan akhir Liga Europa pada Khamis.

United, yang sebelum ini belum pernah tewas dalam saingan Eropah musim ini, tumpas 0-1 hasil jaringan Brennan Johnson pada minit ke-42.

Keputusan itu menyaksikan The Red Devils menamatkan musim penuh duka di tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris (EPL) dan gagal melayakkan diri ke sebarang kejohanan Eropah musim hadapan, selepas harapan terakhir untuk ke Liga Juara-Juara melalui kemenangan Liga Europa musnah.

Malah, kekalahan ini merupakan kekalahan ke-20 United dalam semua kejohanan musim ini, sekali gus menjadi jumlah kekalahan tertinggi kelab itu sejak musim 1973-74 apabila mereka tersingkir dari divisyen utama bola sepak Inggeris dengan 22 kekalahan.

“Kami semua sangat kecewa. Ini bukan pengakhiran yang kami bayangkan. Tapi bukan sekadar keputusan malam ini – seluruh musim ini memang jauh daripada memuaskan.

“Saya rasa kami semua perlu persoalkan diri sendiri, adakah kami cukup bagus untuk berada di sini?

“Untuk kelab seperti Manchester United, musim seperti ini memang tidak boleh diterima. Kami semua tahu itu. Ini bukan tahap sebenar Manchester United.

“Tapi kami perlu lihat kepada sisi positif. Satu-satunya hal positif ialah kami kini hanya boleh naik dari bawah. Kami berada di titik paling rendah sekarang. Kami perlu cari jalan untuk bangkit dan membawa kelab ini kembali ke tempat asalnya,” katanya.

Shaw turut menyuarakan keyakinan penuh terhadap ketua jurulatih, Ruben Amorim, dan menyifatkannya sebagai individu terbaik untuk memulihkan keadaan.

“Saya boleh katakan 100 peratus dia adalah orang yang tepat. Memang keputusan musim ini sangat mengecewakan.

“Saya sudah lama di sini dan pernah berada di bawah pelbagai pengurus. Bagi saya – dan saya yakin mewakili semua pemain – Ruben adalah pengurus yang tepat untuk membawa kami kembali ke tahap sepatutnya.

“Ia akan jadi proses yang sukar. Kami sebagai pemain telah mengecewakan ramai orang, termasuk Ruben. Tapi saya ulang sekali lagi, musim ini jauh daripada memadai.

“Banyak perkara perlu diubah, itu sangat jelas. Sebab itulah saya yakin Ruben adalah orangnya. Dia tahu apa yang perlu dilakukan. Saya percaya dia akan lakukan segala yang mampu untuk membawa United kembali ke puncak,” ujarnya.



Source link

OR

Scroll to Top