“Macam saya seorang yang sangat tersusun, saya tak nak menyesal dikemudian hari”.
Demikian respons pelakon dan model terkenal Indonesia, Luna Maya, apabila dia mengakui sudah bersedia untuk memperlahankan kerjaya seninya selepas merancang untuk menimang cahaya mata bersama suaminya,aktor Maxime Bouttier, tahun depan.
Menurut Luna, 42, sebagai individu yang sangat teratur dalam membuat keputusan, dia mahu memastikan dirinya benar-benar bersedia dari segi fizikal, mental dan emosi sebelum bergelar ibu.
“Karier slow down atau seperti biasa? Karier akan seperti biasa tapi slow down bila memutuskan untuk kami berdua ada anak. Perancangannya adalah tahun depan. Jadi, buat masa ini kami mahu ambil sedikit masa luangkan waktu bersama, mengenali dengan lebih lagi, dan jika semuanya okay, then kami ready for it.
“Macam saya seorang yang sangat tersusun, saya tak nak menyesal dikemudian hari. Dan sekarang pun saya ada sedikit sahaja lagi kerja yang perlu diselesaikan. Bila saya sudah bersedia, saya akan slow down kan kerjaya saya sedikit dan fokus ke arah itu pula,” katanya.

Luna berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Malam Gala dan Sidang Media Filem Sukma yang diadakan di Kuala Lumpur pada, Jumaat.
Mengulas lanjut, dia dan suami juga ingin memberi tumpuan terhadap masa bersama sebelum melangkah ke fasa seterusnya dalam kehidupan berkeluarga. Selain, mengambil kira persediaan dari segi kewangan dan emosi sebelum bergelar ibu.
“We have a good plan. Menabung, sekarang ni nak ada anak mahal. Jadi saya nak berikan yang terbaik buat anak saya.
“Semua harus difikirkan masak-masak kerana kedua belah pihak juga harus ready. Mental dan fizikal. Dan bila keduanya sudah bersedia, anak yang dihasilkan juga nanti baik.
“Saya tidak risau, cuma mahu lebih memilih untuk lebih solid dulu. Dan bila sudah sampai masanya kami sudah ready untuk ke fasa seterusnya,” jelasnya.

Untuk rekod, Luna dan Maxime melangsungkan pernikahan pada 7 Mei 2025 dalam satu majlis yang cukup meriah yang berlangsung di Bali, Indonesia.
Dalam perkembangan lain, Luna Maya turut terlibat dalam filem terbaharu arahan Baim Wong berjudul, Sukma yang akan ditayangkan di Malaysia pada 30 Oktober depan.
Selain Luna, filem Sukma turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti, Fedi Nuril, Christine Hakim, Oka Antara dan aktres popular Malaysia, Anna Jobling.
Sukma merupakan sebuah filem psikologikal thriller yang memebri pengalaman yang sangat berbeza daripada filem seram lakonannya yang lain.
“Semuanya lancar tapi, ada satu kejadian yang luar biasa.
“Ketika kami semua berada di sebuah lokasi tiba-tiba kami diberitahu oleh pemilik tanah yang kawasan itu belum ‘dibayar’ untuk minta izin.
“Jadi kami perlu bertukar ke lokasi yang lain dan terpaksa melakuakn penggambaran semula (re-shoot) semula babak yang dilakonkan sebelum ini,” kongsinya.






