ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Arena bola sepak tempatan tiba-tiba ‘panas’ apabila kelibat penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin, dilihat dalam sekeping gambar yang dimuat naik oleh Terengganu 11 di laman Facebook.
Gambar, yang memaparkan Luqman Hakim tersenyum di sisi tonggak utama TFC, Akhyar Rashid yang segak berbaju Melayu lengkap bersamping dan bertanjak, dipercayai diambil di majlis perkahwinan pemain kelahiran Kedah itu, dengan kapsyen ringkas ‘kiri kanan’.
Ia merujuk kepada posisi, di mana jika Akhyar bermain di sebelah kiri, Luqman Hakim pula di bahagian sayap sebaliknya,
Meskipun tiada kenyataan rasmi, kemunculan Luqman Hakim dalam gambar yang dikongsikan Terengganu 11 itu segera mencetuskan pelbagai tanda tanya dan spekulasi hangat dalam kalangan peminat bola sepak, khususnya penyokong setia skuad Penyu.
Rata-rata netizen mula membuat andaian bahawa ia mungkin satu petunjuk awal bahawa penyerang berusia 22 tahun itu bakal menyarung jersi TFC untuk saingan Liga Super musim hadapan.
“Bdk ni boleh pergi jauh. Syg salah tmpt je. Kalau masuk ganu mmg ngam sgt la. Player local dan import seimbang,” kata Mohd Nashahruddin Abdul Halim.
“Ni jalan terbaik kalu lukman ni nok mantapkan karier dia semula di liga malaysia,” kata Azrol Iz.
Pemain KV Kortrijk itu sebelum ini dipinjamkan dengan kelab Jepun, Yokohama SCC.
© New Straits Times Press (M) Bhd