Lurang penuh lemak, DBKL arah premis makanan ditutup

Lurang penuh lemak, DBKL arah premis makanan ditutup


hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jijik dan meloyakan apabila lurang di sebuah premis makanan di Jalan Perisa 1, Taman Gembira di sini, dipenuhi sisa lemak dan gagal mematuhi tahap kebersihan ditetapkan, kelmarin.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam hantaran di Facebook memaklumkan pemeriksaan dilakukan di premis berkenaan turut mendapati beberapa isu kebersihan serius yang boleh mengundang risiko kepada kesihatan orang awam.

Katanya, susulan itu, pihaknya sudah mengambil tindakan tegas terhadap premis berkenaan termasuk arahan penutupan premis dan pengeluaran kompaun.

“Selain itu, pemeriksaan turut mendapati beberapa gerai beroperasi tanpa lesen sah, penyelenggaraan alat perangkap minyak tidak memuaskan, sisa minyak dialirkan terus ke longkang awam, keadaan lantai dan dinding dapur yang kotor.

“Turut dikesan, pengendali makanan tidak mematuhi aspek kebersihan diri seperti tidak memakai apron dan penutup kepala, malah terdapat juga tanda kehadiran tikus di kawasan berkenaan,” katanya dalam perkongsian hantaran itu.

DBKL berkata, memandang serius perkara berkenaan kerana kebersihan premis makanan adalah faktor penting dalam memelihara kesihatan awam.

“Justeru, peniaga dan pengendali makanan diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan, memastikan penyelenggaraan perangkap minyak dilaksanakan dengan baik serta mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran.

“Pemeriksaan susulan akan terus dijalankan daripada semasa ke semasa demi memastikan tahap kebersihan premis makanan di Kuala Lumpur sentiasa terpelihara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top