Chorzow, Poland: Juara Olimpik 100 meter (m), Noah Lyles, yakin prestasinya kini setara atau lebih baik berbanding musim lalu.
Pelari Amerika Syarikat berusia 28 tahun itu mengungguli perlumbaan final Olimpik di Stade de France setahun lalu denganmengatasi Kishane Thompson dari Jamaica, sebelum meraih gangsa acara 200m ketika bergelut dengan Covid-19.
Esok di Kejohanan Liga Berlian Silesia, Lyles bakal berentap lagi dengan Thompson buat pertama kali sejak final bersejarah itu.
“100 meter ialah perlumbaan berprestij yang paling mendapat perhatian. Kalau saya menang 200m tapi kalah 100m, pulang ke AS pastinya dalam keadaan yang tidak puas,” katanya.
Lyles mengakui pernah berangan bersaing satu lawan satu dengan Thompson di Jamaica.
“Saya rasa kalau buat begitu, pasti stadium penuh. Ia akan jadi sangat menyeronokkan,” katanya.
Sebaliknya, pertemuan kali ini berlangsung di Poland, menjadi sebahagian persiapan penting menjelang Kejohanan Dunia di Tokyo pada 13-21 September ini.
“Hasil latihan menunjukkan saya berada pada tahap sama seperti tahun lalu, malah mungkin lebih baik,” katanya yang menjangka saingan sengit dengan kehadiran rakan sepasukan AS seperti Kenny Bednarek, Christian Coleman, Lindsey Courtney dan Trayvon Bromell, selain Akani Simbine dari Afrika Selatan.
“Boleh kata ini seperti final Olimpik, cuma mungkin kurang dua pelari, tapi diganti pelari yang sama pantas. Kehadiran Kishane menjadikannya lebih menarik. Ramai akan menjadikan perlumbaan ini sebagai penanda aras pilihan juara dunia”.
© New Straits Times Press (M) Bhd