Lyon bedal kelab Israel 6-0

Lyon bedal kelab Israel 6-0


Backa Topola: Olympique Lyonnais merampas tangga teratas saingan Liga Europa selepas membelasah Maccabi Tel Aviv 6-0, awal pagi tadi, dengan Corentin Tolisso menjaringkan hatrik.

Real Betis naik ke tangga kelima selepas menewaskan Utrecht 2-1, manakala Rangers meraih mata pertama tetapi gagal mempertahankan kelebihan apabila diikat 1-1 oleh Braga yang beraksi dengan 10 pemain.

Lyon kini mengumpul 12 mata, berkongsi jumlah sama dengan Midtjylland di tempat kedua yang tewas 1-2 kepada AS Roma, serta Aston Villa yang menang dengan jaringan sama ketika menewaskan Young Boys dalam aksi lebih awal.

Kelab Perancis itu membuka jaringan seawal minit ke-4 apabila Abner Vinicius menyudahkan bola muntah selepas barisan pertahanan Maccabi gagal mengeluarkan bola pada aksi di Arena TSC, Serbia.

Tolisso menggandakan kelebihan 25 minit kemudian sebelum Moussa Niakhate menyempurnakan penalti 10 minit selepas itu susulan kekasaran Sagiv Jehezkel terhadap Pavel Sulc.

Kapten Lyon, Tolisso, menambah dua lagi gol sejurus babak kedua bersambung, manakala Adam Karabec melengkapkan kemenangan itu selepas sejam permainan.

Maccabi, yang kehilangan Jehezkel akibat layangan kad merah pada masa kecederaan, kekal di tangga kedua tercorot dengan satu mata.

Rangers, yang memulakan aksi di kedudukan tercorot kumpulan, berada di depan pada masa kecederaan babak pertama menerusi penalti yang disempurnakan James Tavernier.

Braga kehilangan Rodrigo Zalazar akibat kad merah pada minit ke-61, namun lapan minit kemudian Gabri Martinez menyamakan kedudukan selepas memanfaatkan kesilapan dalam kotak penalti.

Rangers pula kehilangan Mohamed Diomande pada masa kecederaan.

Betis pula mendahului dua gol hasil jaringan Cucho Hernandez dan Abde Ezzalzouli, sebelum Utrecht merapatkan jurang 10 minit memasuki babak kedua.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top