am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menggalas tanggungjawab menjaga suami terlantar dan pada masa sama membesarkan anak yang masih kecil bukanlah sesuatu yang mudah.
Bagi kebanyakan wanita dalam situasi ini, dugaan yang dihadapi bukan sekadar emosi dan fizikal malah tekanan kewangan apabila kehilangan punca pendapatan utama keluarga.
Justeru, sebagai institusi yang mengurus dan menyalurkan zakat kepada golongan memerlukan, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan pelbagai bentuk bantuan khusus buat isteri yang berdepan dengan masalah sebegini.
Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS, Siti Aishah Abu Bakar berkata, LZS menyediakan pelbagai bentuk bantuan perubatan kepada golongan asnaf, termasuk mereka yang tergolong dalam kategori fakir, miskin, mualaf dan gharimin.
Menurutnya, dalam situasi isteri menjaga suaminya yang sakit, mereka boleh dipertimbangkan dan didaftarkan sebagai asnaf fakir atau miskin di LZS.
Bagaimanapun, jelasnya bergantung kepada keadaan semasa dan keperluan isi rumah mereka.
“Penilaian ini dibuat berdasarkan siasatan dan bancian had al-Kifayah (garis kecukupan seseorang dalam penentuan asnaf) yang mengambil kira keperluan serta syarat kelayakan yang ditetapkan.
“Sekiranya hasil bancian dan siasatan mendapati keluarga itu tidak layak di bawah kategori fakir atau miskin, bantuan perubatan masih boleh dipertimbangkan dan disalurkan melalui kategori asnaf gharimin,” katanya ketika mengulas muka hadapan Harian Metro semalam.
Asnaf gharimin ialah individu Islam yang berhutang kerana keperluan hidup yang dibenarkan syarak dan tidak mampu membayar hutang tanpa menjejaskan kelangsungan hidup.
Dalam konteks bantuan perubatan pula, jika seseorang menanggung hutang rawatan hospital atau kos perubatan yang tinggi dan tidak mampu melunaskannya, mereka boleh dipertimbangkan sebagai asnaf gharimin, walaupun tidak tergolong sebagai fakir atau miskin.
Dokumen sokongan seperti surat pengesahan sakit dari hospital yang diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sebut harga kos rawatan adalah diperlukan untuk permohonan bantuan perubatan.
Beliau berkata, dalam kes isteri menjaga suami yang terlantar sakit dan tidak mampu bekerja, penilaian kelayakan keluarga sebagai asnaf fakir atau miskin dibuat berdasarkan pengiraan Had al-Kifayah.
Siti Aishah berkata, Had al-Kifayah merujuk kepada garis penentu kecukupan asas keluarga yang mengambil kira tanggungan, keperluan asas dan kemampuan pendapatan sebenar.
“Jika jumlah pendapatan tidak mencukupi untuk menampung keperluan minimum keluarga sebagaimana yang ditetapkan, maka mereka layak menerima bantuan di bawah kategori asnaf fakir atau miskin.
“Bagaimanapun sekiranya tidak layak, masih lagi boleh menerima bantuan perubatan di bawah asnaf gharimin,” katanya.
Tempoh kelulusan bagi permohonan bantuan adalah 14 hari bekerja.
Jika permohonan ditolak, rayuan melalui saluran rasmi LZS boleh dilakukan.
Bantuan juga boleh diberikan secara ‘one off’ mahupun berkala bergantung kepada keperluan dan penilaian semasa.
Penilaian semula juga akan dibuat sekiranya terdapat perubahan dalam maklumat atau keadaan keluarga.
Siti Aishah berkata, selain bantuan perubatan, LZS juga menyediakan bantuan kewangan bulanan bagi keluarga yang berdaftar sebagai asnaf fakir dan miskin, tertakluk kepada keperluan dan syarat kelayakan.
Katanya, wanita yang menjaga suami terlantar juga boleh memohon bantuan sebagai ketua keluarga sekiranya menjadi pencari nafkah utama dan bertanggungjawab ke atas kebajikan keluarga.
“Bagi memastikan masa depan anak-anak tidak terjejas, LZS turut menyediakan bantuan pendidikan atau taska untuk anak-anak kecil dari keluarga asnaf fakir dan miskin yang berdaftar.
“Bantuan ini meliputi yuran sekolah, kelengkapan dan yuran pengajian dari peringkat pra sekolah/tadika, Sekolah Rendah Kebangsaan, Sekolah Rendah Agama dan Sekolah Menengah,” katanya.
Siti Asihah berkata, LZS menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi tertentu bagi menyediakan sokongan tambahan seperti kaunseling, pemulihan emosi dan latihan kemahiran ke arah pemerkasaan wanita dan keluarga.
“Bagi memastikan tiada golongan asnaf yang tercicir daripada menerima bantuan, LZS mengambil pendekatan proaktif termasuklah melantik lebih 1,900 Penolong Amil Kariah (pemudah cara di kariah masing-masing), Skuad Jejak Kemiskinan (program turun padang jejak asnaf), Skuad Saidina Umar (SSU) yang aktif 24 jam.
“LZS juga akan sentiasa memastikan bantuan sampai kepada keluarga yang benar-benar memerlukan melalui proses siasatan, verifikasi lapangan secara berkala dan pemantauan berterusan ke atas penerima,” katanya.
Bagi jangka masa panjang, LZS menggerakkan inisiatif pembangunan melalui bantuan keusahawanan, latihan kemahiran, pendidikan dan sebagainya.
Pendekatan ini bukan saja menyalurkan bantuan, tetapi juga membina daya tahan agar asnaf mampu keluar daripada kitaran kemiskinan.
“Justeru, bagi mereka yang berada di dalam keadaan yang sukar seperti wanita atau isteri yang menjaga suami terlantar, LZS sentiasa membuka pintu untuk menghulurkan bantuan dan sokongan bagi memastikan segera memohon agar kehidupan anda dan keluarga lebih terjamin,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd