MA tidak mahu ambil pendekatan terburu-buru

MA tidak mahu ambil pendekatan terburu-buru



sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Olahraga Malaysia (MA) tidak mahu mengambil pendekatan terburu-buru terhadap isu yang sedang melanda persatuan itu kerana kebajikan atlet sentiasa menjadi keutamaan mereka.

Presiden MA, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau akan melihat setiap perkara yang terjadi berdasarkan fakta dan bukan kepada ‘gosip’ semata-mata sebelum mengambil langkah seterusnya.

Jelasnya, biarpun terdapat beberapa isu yang berlaku, sesi latihan atlet mesti diteruskan bagi memastikan prestasi mereka sentiasa berada di tahap terbaik.

“Yang paling penting ialah fakta. Kita akan berdasarkan kepada fakta. Kebajikan atlet tidak akan diabaikan.

“Latihan mesti berterusan. Saya sedang perhatikan dan tindakan sedang diambil supaya mereka teruskan latihan walaupun tidak bersama jurulatih asal. Kita tidak mahu mereka hilang fokus,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan satu mesyuarat ahli majlis badan induk itu akan diadakan pada 24 April ini untuk membincangkan isu membabitkan atlet olahraga yang memboikot sesi latihan itu.

Katanya, pihaknya tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi sehingga menjejaskan semua pihak termasuk persiapan atlet ke beberapa kejohanan penting termasuk Sukan Sea di Thailand, hujung tahun ini.

“Saya tak nak jawab dengan cara yang hanya akan burukkan keadaan. Kita nak cari jalan penyelesaian, bukan tambah masalah. Atlet ini adalah nombor satu, jadi kita kena jaga dia orang.

“Kalau saya bercakap terbuka hal atlet, itu bukan untuk kebaikan. Saya tidak akan buat kenyataan hanya untuk seronok-seronok atau tambah persepsi negatif. Kita selesaikan dulu secara tertutup,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top