syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun, memberikan penjelasan susulan namanya tular dipetik netizen di Threads berhubung dakwaan segelintir artis bersikap sombong apabila ditemui di tempat awam.
Hafiz, 42, menganggap perkara itu berkemungkinan besar hanyalah satu kebetulan atau salah faham yang berlaku ketika artis berkenaan tidak berada dalam keadaan bersedia untuk bertemu orang ramai.
“Pada saya, saya anggap mungkin itu kebetulan. Mungkin ketika peminat berjumpa atau terserempak, artis itu tidak perasan atau tidak berada dalam keadaan yang bersedia sepenuhnya.
“Kadang-kadang di tempat umum, ada masanya selebriti memerlukan privasi bersama keluarga atau mahu bersendiri, contohnya ketika sedang makan. Kita kena faham situasi itu,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut mengenai namanya yang turut ‘ditag’ oleh netizen dalam perbincangan hangat itu, Hafiz menegaskan bahawa dia sentiasa cuba untuk menjaga adab dan layanan terhadap sesiapa sahaja terutama jika membabitkan majlis rasmi.
“Saya yakin kalau dalam keadaan seperti majlis yang dihadiri, takkanlah kita nak jadi sombong atau tidak melayan tetamu. Itu satu perkara yang saya rasa tidak sepatutnya berlaku.
“Namun, jika ada yang terlepas pandang, saya memohon maaf. Maafkanlah kalau mungkin situasi itu tidak kena dengan apa yang diharapkan oleh peminat,” katanya.
Ditanya mengenai tindakannya jika berada dalam keadaan kurang sihat seperti mengalami migrain atau sedang dalam keadaan tergesa-gesa, Hafiz mengakui dia seboleh-bolehnya tidak mahu menghampakan permintaan peminat.
“Jadi seboleh-bolehnya saya cuba untuk tidak menghampakan mereka yang mahu bergambar. Kita buat macam biasa sahaja sebab kita pun bukan selamanya akan berada di atas,” katanya.
Dalam nada berseloroh, Hafiz turut mendedahkan masalah penglihatan yang dialaminya mungkin menjadi punca dia kelihatan tidak mengendahkan orang sekeliling dalam situasi tertentu.
“Kalau mungkin ada yang rasa saya tidak nampak mereka melambai, saya minta maaf sangat sebab saya sebenarnya pun rabun. Kadang-kadang memang ada situasi yang tidak sengaja berlaku,” ujarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






