MABA tagih khidmat pemain naturalisasi 

MABA tagih khidmat pemain naturalisasi 

MABA tagih khidmat pemain naturalisasi 


PETALING JAYA:  Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) berharap dapat melengkapkan proses naturalisasi pemain sebelum Sukan SEA 2025 di Thailand bagi mencerahkan peluang skuad kebangsaan meraih pingat.

Naib Presiden MABA, Datuk Lee Yuen Fong berkata, sekiranya dapat direalisasikan, ia memberi kelebihan besar kepada pasukan negara untuk memburu emas di temasya dwitahunan tersebut.

Sebelum ini, skuad negara berdepan kesukaran kerana terpaksa bergantung kepada pemain sedia ada kerana sewaktu Sukan SEA Hanoi dan Kemboja, negara-negara jiran menggunakan 100 peratus ‘tenaga import’.

“Kami sudah bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam proses ini. Jika semuanya berjalan lancar, kita yakin dapat mara ke separuh akhir Sukan SEA. 

“Tanpa pemain naturalisasi, kita mungkin berdepan kesukaran kerana sewaktu di Kemboja anda boleh lihat mereka menggunakan pemain naturalisasi.

“Jadi, untuk kita mendapatkan pingat bersaing dengan pemain yang ada pengalaman di NBA dan sebagainya agak sukar untuk kita. Saya harap ada sinar buat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Kejohanan Jemputan Antarabangsa Bola Keranjang Malaysia, di ibu negara semalam.

Kejohanan tersebut diadakan bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China serta turut disertai kelab bola keranjang dari Malaysia, China, dan pasukan kebangsaan Macau.

Menurut Yuen Fong, selain proses naturalisasi, MABA juga sedang merekrut pemain dan jurulatih baharu bagi memastikan pasukan kebangsaan lebih kompetitif menjelang temasya sukan dwitahunan tersebut.

“Persiapan pasukan berjalan lancar, dan kami yakin usaha menambah muka baharu ini akan membantu memperbaiki prestasi pasukan di Sukan SEA berbanding edisi lalu,” katanya.

Pada Sukan SEA di Kemboja sebelum ini, skuad wanita Malaysia hanya berjaya membawa pulang pingat gangsa dan skuad lelaki gagal meraih sebarang pingat.  – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top