Rifdean (kiri) mengungguli saingan Friday Fights 107 di Stadium Lumpinee, Bangkok pada Jumaat. Foto One Luminee Fan Club
ATLET muay thai profesional negara, Rifdean Masdor, belum mahu mendabik dada selepas meraih kemenangan ketiga di gelanggang ONE Championship di Thailand pada malam Jumaat.
Petinju berusia 22 tahun itu melakar sensasi apabila hanya memerlukan 47 saat untuk menumbangkan petarung Laos, Nongbia LaoLaneXang, dalam saingan Friday Fights 107 di Stadium Lumpinee, Bangkok.
Rifdean menyifatkan kemenangan tersebut sebagai permulaan dan menegaskan bahawa beliau perlu mengharungi lebih banyak pertarungan pada masa akan datang.
“Alhamdulillah, syukur dengan kemenangan ini. Apa pun perjuangan belum habis lagi, jangan terlalu awal untuk bergembira. Jumpa pada pertarungan seterusnya.
“Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan. Doakan dan terus beri semangat kepada saya untuk aksi akan datang,” katanya.
Dalam aksi Kategori Atomweight, Rifdean mencatat kemenangan menerusi technical knockout (TKO) ke atas Nongbia.
Malah, beliau turut menyifatkan strategi yang digunakan ketika menewaskan lawan sebagai yang terbaik dan tidak pernah dilakukannya sebelum ini.
“Aku nak beritahu belum boleh ‘move on’. Saya buat ‘fly kick’. Aksi yang tidak pernah dibuat, ini kali pertama dalam sejarah sejak menyertai muay thai dari kecil. Rasa macam dalam cerita kung fu,” katanya.
Rifdean juga enggan berasa kecewa susulan ketiadaan insentif atas kemenangan tersebut.
“Ramai yang tanya kenapa tak dapat bonus. Saya pun tidak tahu, mungkin bukan rezeki atau mungkin pada pertarungan akan datang, mereka tawarkan kontrak dan beri bonus sekali.
“Apa pun saya tetap bersyukur. Janji menang pertarungan,” katanya.
Sebagai rekod, kemenangan itu merupakan yang ketiga daripada empat penampilan Rifdean di pentas ONE Championship, sekali gus menegaskan kehadirannya sebagai antara petarung muda paling menyerlah di peringkat antarabangsa.