sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan pemain Harimau Malaya, Imanol Machuca yang ‘tidak duduk diam’ ketika digantung 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) boleh menyebabkan pemain itu berisiko mendapat hukuman tambahan.
Ia selepas media Argentina melaporkan pemain itu mencetuskan kontroversi apabila dilihat terbabit dalam perlawanan latihan bersama kelab lamanya, San Lorenzo meskipun masih menjalani hukuman penggantungan.
Menjelaskan situasi itu, peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli menegaskan hukuman yang dikenakan FIFA ke atas Machuca adalah penggantungan 12 bulan daripada sebarang aktiviti membabitkan bola sepak.
Justeru, apa yang dilakukan Machuca selepas terbabit dengan perlawanan latihan bersama San Lorenzo boleh dianggap seperti melanggar hukuman yang sudah dikenakan FIFA sekali gus berpotensi mendapat hukuman tambahan.
“Tiada definisi untuk aktiviti membabitkan bola sepak dalam Kod Disiplin FIFA tetapi definisi munasabah perlu merangkumi semua aktiviti termasuklah sesi latihan, pengurusan dan komersial, bukan sahaja perlawanan kompetitif.
“Pada pendapat saya, tindakan Machuca berlatih termasuk dalam skop aktiviti membabitkan bola sepak sekali gus ia menjadi pelanggaran hukuman FIFA.
“Artikel 21 Kod Disiplin FIFA menyatakan jika hukuman FIFA gagal dihormati atau dituruti, pihak yang dihukum bakal menerima hukuman tambahan sama ada denda ataupun penggantungan dilanjutkan,” kata Nik Erman kepada BH Sukan.
Selain Machuca, enam lagi pemain turut berdepan hukuman sama iaitu denda RM10,500 dan digantung 12 bulan iaitu Hector Hevel, Facundo Garces, Joao Figueirido, Jon Irazabal, Rodrigo Holgado dan Gabriel Palmero.
Bukan sahaja tujuh pemain terbabit malah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut dikenakan denda sebanyak RM1.8 juta.
Situasi ini menyaksikan FAM membawa kes itu kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebagai langkah terakhir bagi melengkapkan prosedur perundangan.
Namun, FAM berdepan hukuman ‘tambahan’ daripada FIFA selepas badan induk antarabangsa itu membatalkan keputusan tiga aksi persahabatan yang diharungi skuad Harimau Malaya dan memberikan kekalahan 0-3.
Ini kerana skuad kebangsaan didapati menurunkan pemain yang tidak layak beraksi pada pertemuan menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin itu.
Kesannya, ranking skuad negara jatuh lima anak tangga kepada 121 selepas mereka sebelum ini menghuni ranking ke-116 dengan rekod tanpa kalah sepanjang 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd






