Machuca tiada, Richard Chin jadi tumpuan senarai Harimau Malaya jumpa Singapura dan Palestin

Machuca tiada, Richard Chin jadi tumpuan senarai Harimau Malaya jumpa Singapura dan Palestin


mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain termahal Harimau Malaya, Imanol Machuca sah tidak berada dalam senarai skuad negara bagi menghadapi aksi persahabatan antarabangsa menentang Singapura dan Palestin awal bulan depan.

Machuca yang bernilai 2.5 juta Euro (RM12.3 juta) tidak dapat dilepaskan kelabnya, Velez Sarsfield kerana bakal berdepan Central Cordoba dalam aksi final Piala Super Argentina pada 6 September ini.

Namun, kemunculan pemain kacukan, Richard Chin menjadi tarikan utama dalam senarai 29 pemain yang diumumkan ketua jurulatih, Peter Cklamovski hari ini.

Bintang kelab Raith Rovers itu akan menjadi tonggak baharu dalam Harimau Malaya sekali gus mengisi slot pemain warisan yang semakin mendapat tempat di bawah kendalian jurulatih dari Australia berkenaan.

Richard adalah antara tujuh pemain yang beraksi di luar negara dipanggil Cklamovski.

Mereka termasuk Dion Cools (Cerezo Osaka), Facundo Garces (Deportivo Alaves), Rodrigo Holgado (America De Cali), Gabriel Palmero (Unionistas De Salamanca), Endrick Dos Santos (Ho Chi Minh City) dan Sergio Aguero (Kanchanaburi Power).

Selain itu, tiga lagi pemain warisan yang baru menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel turut disenaraikan.

Namun, harapan peminat untuk melihat kelibat pemain warisan baharu, Nacho Mendez tidak kesampaian apabila bintang JDT itu tidak dipanggil kali ini.

Sementara itu, pemain St Louis City, Wan Kuzain Wan Kamal berada dalam senarai bersedia bersama 14 lagi pemain tempatan.

Antara yang tersenarai ialah penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi selain Darren Lok, Mohamadou Sumareh dan Syamer Kutty Abba.

Kem latihan pusat Harimau Malaya akan bermula Isnin ini sebagai persiapan menghadapi dua aksi persahabatan berstatus Tier 1.

Skuad negara akan menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis ini sebelum bertemu Palestin di Stadium Sultan Ibrahim pada 8 September depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top