MAD bidik tuan rumah Kejohanan Dodgeball Dunia 2026

MAD bidik tuan rumah Kejohanan Dodgeball Dunia 2026


PERSATUAN Dodgeball Malaysia (MAD) kembali meletakkan Malaysia dalam peta sukan itu apabila mengesahkan hasrat membida hak penganjuran Kejohanan Dodgeball Dunia 2026.

Presidennya, Datuk Radhakrishnan berkata, ia menandakan satu lagi usaha agresif badan induk berkenaan untuk meletakkan Malaysia sebagai kuasa besar sukan tersebut selepas kali terakhir menganjurkannya pada edisi 2012.

“Saya secara rasmi mengumumkan hasrat MAD untuk membida hak penganjuran Kejohanan Dodgeball Dunia 2026 dengan Kuala Lumpur sebagai lokasi penganjuran.

“Sejujurnya kami yakin dengan kemampuan Malaysia untuk menganjurkan temasya berprestij ini berdasarkan pengalaman edisi 2012 sebelum ini.

“Malah kami memiliki segala yang diperlukan seperti infrastruktur sukan bertaraf dunia, sokongan padu daripada kerajaan, dan semangat juang peminat sukan ini yang luar biasa.

“Kami juga yakin sokongan rakyat Malaysia pasti mampu memberikan pengalaman tidak akan dilupakan dan semua yang terlibat dengan penganjuran temasya ini,” katanya juga Naib Presiden Persekutuan Dodgeball Dunia (WBDF) kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Sebagai rekod, Radhakrishnan berjaya mengekalkan jawatan Presiden MAD bagi penggal 2025-2027 baru-baru ini.

Mengenai kos penganjuran, Radhakrishnan berkata, MAD akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Belia dan Sukan berkenaan dengan bajet.

“MAD menjangkakan sejumlah RM500,000 diperlukan untuk penganjuran.

“Biarpun begitu MAD akan turun padang untuk mendapatkan tajaan daripada syarikat korporat dan sebagainya,” katanya.

Ditanya negara yang akan menjadi pesaing Malaysia dalam menganjurkan temasya, berkenaan, Radhakrishnan menjangkakan saingan daripada Arab Saudi dan Amerika Syarikat.

Justeru persediaan untuk merealisasikan impian itu, Radhakrishnan juga Presiden Persekutuan Dodgeball Asia berkata, MAD telah merangka pelan tindakan strategik yang komprehensif bagi menghadapi Kejuaraan Dodgeball Asia di Taiwan pada November depan.

“Tahun 2025 akan menjadi tahun yang padat dengan pelbagai kejohanan dan program pembangunan dodgeball di peringkat kebangsaan termasuk Kejohanan Kelab Dodgeball Kebangsaan, Kejohanan Remaja Kebangsaan, Liga Dodgeball Malaysia, Kejuaraan MAD Intervarsity dan Digital Dodgeball.

“Kejohanan-kejohanan ini bukan sahaja akan memupuk bakat-bakat baharu, malah menjadi medan latihan yang sempurna jika kita berjaya memenangi hak penganjuran Kejohanan Dodgeball Dunia 2026,” kata Radhakrishnan.

Tambah Radhakrishnan lagi, kejayaan bidaan ini akan menjadi satu pencapaian bersejarah bagi sukan dodgeball negara.

“Kejohanan ini dijangka menarik penyertaan pasukan-pasukan terbaik dari seluruh dunia, dan menjadi platform terbaik untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi sukan bertaraf antarabangsa,” kata Radhakrishnan.

INFO

Majlis Eksekutif MAD Penggal 2025-2027:

Penaung:

Datuk Abdul Malek Md Noor

Presiden:

Datuk Radhakrishnan

Timbalan Presiden:

Abdul Hafidz Russly (Pahang)

Naib Presiden Satu:

Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz

Naib Presiden Dua:

Wong Kar Wai (Otto)

Naib Presiden Tiga:

Muhammad Zikri Zulkifli (Kedah)

Ahli Jawatankuasa Eksekutif:

1. Albert Chung

2. Amiza Tamrin (Pahang)

3. Ramona Yuen

4. Christopher Wong (Negeri Sembilan)

5. Leong Wai Yearn (Kedah)

6. Dasataran V Subramaniam (Negeri Sembilan)

7. Teh Wee Sheng

8. Norita Abdul Halim



Source link

OR

Scroll to Top