Madinah Ramadan: Latihan tahunan membentuk takwa

Madinah Ramadan: Latihan tahunan membentuk takwa


– Advertisement –

MADINAH Ramadan Kelantan bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya telah bermula sejak 20 tahun lalu dengan konsep asalnya dikenali sebagai Qaryah Ramadan.

Ketika itu, program ini diadakan secara sederhana berhampiran Stesen Bas Kota Bharu dengan ruang yang terhad. Namun, dengan kesungguhan dan sokongan semua pihak, ia berkembang pesat sehingga muncul istilah Madinah Ramadan, melambangkan kematangan serta peningkatan dari segi kehadiran dan pengisian program.

Dato’ Seri Amar D’Raja (Dr) Mohd Amar Abdullah berkata, tujuan sebenar program ini diasaskan oleh Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan sekadar untuk solat tarawih semata-mata.

Sebaliknya, ia merangkumi keseluruhan konsep Ramadan sebagai bulan tarbiyah dan latihan rohani yang membentuk keperibadian seorang Muslim.

“Tok Guru sering menyebut, bukan hanya puasa yang menjadi fokus, tetapi penghayatan Ramadan dalam setiap aspek kehidupan,” katanya.

Menurutnya, Allah SWT mewajibkan puasa dengan matlamat utama membentuk ketakwaan dalam diri hamba-Nya.

Ketakwaan ini bukan sekadar mematuhi hukum, tetapi menjadikan seseorang lebih dekat dengan Allah serta lebih sensitif terhadap nilai-nilai keimanan.

“Jika seseorang berjaya mencapai tahap ketakwaan, maka ganjarannya adalah syurga,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan bahawa puasa merupakan satu bentuk latihan disiplin diri yang Allah SWT berikan kepada umat Islam setiap tahun.

“Jika seseorang mampu menahan diri daripada perkara halal seperti makan dan minum dalam tempoh tertentu, sudah tentu lebih mudah baginya untuk mengawal diri daripada perkara haram sepanjang masa,” ujarnya.

Beliau menambah, dalam kehidupan seharian, nafsu bukan untuk dihapuskan, tetapi dikawal dan disalurkan mengikut kehendak agama.

“Islam tidak mengajarkan kita mematikan nafsu, sebaliknya ia perlu dikendalikan dengan baik agar tidak merosakkan diri dan masyarakat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan masyarakat untuk memperbanyakkan sedekah, kerana ia bukan sekadar membantu golongan yang memerlukan, tetapi juga menjadi jalan bagi membersihkan dosa.

“Rasulullah SAW bersabda bahawa sedekah boleh memadamkan dosa sebagaimana air memadamkan api,” katanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa setiap pagi, ada malaikat yang berdoa agar Allah memberikan ganjaran kepada mereka yang membelanjakan hartanya di jalan kebaikan.

“Mereka yang kedekut dan enggan bersedekah pula, malaikat akan berdoa agar hartanya musnah,” tambahnya.

Justeru, beliau menegaskan bahawa sumbangan kepada program Madinah Ramadan bukan sekadar tanggungjawab sosial, tetapi satu bentuk ibadah yang menjadi bekalan di akhirat.

“Saya berharap setiap sumbangan dan sokongan kepada Madinah Ramadan bukan sahaja menjayakan program ini, tetapi juga membawa keberkatan dalam kehidupan kita semua,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan mendoakan agar usaha ini diterima sebagai amal soleh di sisi Allah SWT.

Orang ramai yang berhasrat menyumbang bagi program Madinah Ramadan boleh berbuat demikian ke Tabung Ihya’ Ramadan, Bank Muamalat 0301-000-5757-713. – HARAKAHDAILY 4/3/2025

– Advertisement –

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!



Source link

OR

Scroll to Top