MAFA perhalusi kembalikan pasukan di pentas Liga Super

MAFA perhalusi kembalikan pasukan di pentas Liga Super


sukan@hmetro.com.my

Melaka: Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA) berusaha gigih untuk mengembalikan pasukan dari persatuan terbabit beraksi di Liga Super.

Timbalan Presiden MAFA, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berkata, usaha berterusan dilaksanakan untuk mengembalikan pasukan terbabit di pentas Liga Super dengan semua perancangan kini giat diperhalusi.

Usaha berkenaan juga bagi memastikan kehadiran pasukan mampu memeriahkan kembali penyertaan skuad dari MAFA di pentas piala berprestij terbabit, selepas kali akhir menerusi pasukan Melaka United beberapa tahun lalu.

Menurutnya, justeru buat masa ini pihaknya giat membentuk pasukan akar umbi yang berkualiti sebagai pelapis masa hadapan yang boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

“MAFA akan terus memastikan pembangunan bola sepak di laksanakan secara berterusan untuk membentuk pasukan terbaik selepas tidak menyertai saingan Liga Super sejak beberapa tahun lalu.

“Justeru pelbagai aktiviti akar umbi termasuk menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) giat diadakan selain kursus kejurulatihan dan pengadil sekali gus menyokong kepada perkembangan bola sepak negara,” katanya.

Beliau berkata demikian mewakili presiden MAFA Datuk Seri Ab Rauf Yusoh semasa Kongres Tahunan MAFA kali ke-68 berlangsung di Banda Hilir hari ini.

Saiful berkata, MAFA juga bakal menaik taraf padang 10 di Kompeks Sukan MAFA, Paya Rumput di sini bagi membolehkan kemudahan sukan berkenaan digunakan dengan selesa oleh ahli kelab gabungan dan orang ramai.

Katanya, pihaknya akan membangunkan padang 10 terbabit dengan kerjasama pihak pelabur untuk menaik taraf supaya memberi keselesaan kepada semua pasukan yang menggunakan kemudahan padang berkenaan.

Beliau berkata, Kompleks MAFA yang menempatkan 10 padang bola sepak yang menyamai kemudahan sukan di Manchester United berkenaan ketika ini diakui kurang selesa bagi pemain justeru ia akan dinaik taraf untuk keselesaan kepada pasukan yang beraksi.

Menurutnya, pihaknya juga mengenal pasti terdapat syarikat yang ingin menyewa beberapa padang di lokasi berkenaan bagi menjana pendapatan MAFA menerusi penyewaan berkenaan.

Jelasnya, sewaan berkenaan dicadang bukan untuk tempoh yang lama, ia memadai antara enam bulan atau tempoh yang sesuai yang akan diperbincangkan dalam peringkat pengurusan tertinggi.

Jelasnya, tempoh sewaan tidak dicadang untuk tempoh yang panjang kerana MAFA juga mempunyai perancangan yang lain terhadap padang berkenaan.

Sementara itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana memilih venue perlawanan persahabatan antarabangsa membabitkan Uruguay dan Uzbekistan pada Oktober depan di Stadium Hang Jebat.

Saiful berkata, perlawanan berkenaan membolehkan peminat bola sepak di Melaka dan seluruh negara hadir untuk menyaksikan bintang-bintang bola sepak dunia beraksi di bumi Hang Tuah.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top