MAG nilai, laraskan harga tiket susulan trend kenaikan tambang penerbangan global

MAG nilai, laraskan harga tiket susulan trend kenaikan tambang penerbangan global


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia Aviation Group (MAG) akan terus menilai serta membuat pelasaran harga tiket penerbangan dari semasa ke semasa susulan trend kenaikan tambang penerbangan global.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Nasaruddin A Bakar berkata, syarikat penerbangan seluruh dunia termasuk MAG mengamalkan sistem harga dinamik yang diselaraskan berdasarkan keseimbangan permintaan dan penawaran pasaran.

“Harga tiket sentiasa berubah mengikut permintaan dan keseluruhan (harga) tambang yang kami tawarkan adalah sangat kompetitif.

“Pada masa ini, kadar muatan bagi kebanyakan laluan melebihi 85 peratus, menunjukkan permintaan yang sangat kukuh bagi hampir semua destinasi termasuk Eropah, China dan Jepun.

“Bagaimanapun, sama ada trend harga tinggi ini akan berterusan atau tidak bergantung kepada keadaan pasaran, dan kami akan terus menilai serta melaras harga dari semasa ke semasa,”katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam persekitaran global yang mencabar, keupayaan menyesuaikan strategi secara fleksibel serta disiplin dalam pengurusan kos akan menjadi kunci kepada kelangsungan dan pertumbuhan syarikat.

Mengulas lanjut, Nasaruddin berkata, industri penerbangan sememangnya terdedah kepada pelbagai krisis termasuk pandemik COVID-19 dan lain-lain lagi, namun pengalaman lalu membolehkan syarikat kekal berdaya tahan.

“Dalam tempoh 50 tahun, industri ini melalui pelbagai krisis seperti SARS, COVID-19 termasuk krisis besar MAG sendiri pada tahun 2014. Apa yang penting adalah bagaimana kita bersedia dan bertindak balas terhadapnya.

“Setiap krisis akan ada fasa pemulihan dan peluang. Kami mahu memastikan MAG berada dalam kedudukan terbaik untuk memanfaatkan peluang itu,” katanya.

Beliau menambah, bagi menghadapi ketidaktentuan semasa, MAG memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu strategi perniagaan yang jelas, pelaburan berterusan dalam aset dan tenaga kerja, serta pengurusan kewangan yang berdisiplin.

Dalam perkembangan berkaitan, menjelang 2035, MAG menyasarkan pemilikan sehingga 116 pesawat yang merangkumi rangkaian ke 106 destinasi bagi memastikan kecekapan operasi dan pengalaman pelanggan yang lebih moden.

Katanya, MAG juga memperkenalkan pesawat generasi baharu yang akan meningkatkan pengalaman pelanggan dengan menawarkan perjalanan yang lebih moden dan konsisten.

“Semua usaha ini berlandaskan dua prinsip utama iaitu kelestarian komersial serta kepentingan negara.

“Setiap keputusan mesti berhemah dari segi kewangan serta memperkukuh hubungan Malaysia dengan dunia, menyokong pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kedudukan negara di peringkat global,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top