Maguire berhak dapat tempat dalam kesebelasan utama England – Amorim

Maguire berhak dapat tempat dalam kesebelasan utama England – Amorim


PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim percaya prestasi semasa Harry Maguire membolehkan tonggak pertahanan itu mendapat semula tempat dalam kesebelasan utama pasukan England bimbingan Thomas Tuchel.

Tuchel dijangka menamakan pemilihannya minggu depan untuk kelayakan Piala Dunia menentang Albania dan Latvia akhir bulan ini.

Meskipun prestasi United musim ini tidak begitu mengagumkan, Amorim percaya Maguire masih menunjukkan potensi untuk dipanggil semula ke skuad Three Lions selepas terlepas lima aksi antarabangsa terakhir.

Maguire diketepikan daripada skuad Gareth Southgate untuk Euro 2024 kerana aspek kecergasan, selain terus berjuang meyakinkan Erik ten Hag bahawa dia cukup bagus untuk United ketika pengurus dari Belanda itu masih di Old Trafford.

Namun, Amorim percaya Maguire telah membuktikan dirinya seorang pemain yang boleh memberi sumbangan besar kepada pasukan kebangsaan.

“Saya amat gembira untuk Harry. Saya rasa dia berhak kembali ke kesebelasan utama England. Dia adalah seorang pemain yang hebat. Walaupun masih ada ruang untuk peningkatan, saya rasa prestasinya kini sudah cukup baik.

“Saya rasa dia lebih matang dan menjadi seorang pemimpin yang mampu membantu pasukan kebangsaan. Saya berharap dia dipilih dalam skuad pada perlawanan seterusnya,” kata Amorim.

Tuchel sebelum ini mungkin menjadi pengendali United sekiranya perbincangannya dengan kelab itu berjalan lancar pada musim panas lalu, namun kini beliau diberi tanggungjawab untuk memimpin England menjulang Piala Dunia 2026.

Maguire, yang berusia 31 tahun, berharap dapat mengukuhkan kedudukannya dalam skuad Three Lions menjelang kejohanan tersebut.

Maguire mengakui bahawa terlepas Euro 2024 adalah momen paling sukar dalam kariernya.

“Apabila saya mula-mula mengalami kecederaan, saya fikir saya akan cergas untuk perlawanan akhir Piala FA. Jadi saya mendorong diri saya untuk perlawanan akhir, dan kemudian saya mengalami kemerosotan tahap kecergasan pada minggu sebelum perlawanan akhir.

“Pada masa itu sekali lagi, ia tidak menjadi masalah, saya akan cergas untuk Euro. Kemudian saya pergi bersama England dan saya mengalami satu lagi masalah kecergasan. Ia sangat mengecewakan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top