Maguire hero United, ketuai 10 pemain bangkit tundukkan Ipswich di Old Trafford

Maguire hero United, ketuai 10 pemain bangkit tundukkan Ipswich di Old Trafford


STADIUM Old Trafford sekali lagi menyaksikan drama bola sepak yang mendebarkan musim ini apabila Manchester United, yang beraksi dengan 10 pemain, mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Ipswich Town.

Tandukan Harry Maguire pada awal separuh masa kedua menjadi penentu kemenangan buat skuad kendalian Ruben Amorim, sekaligus menjauhkan The Red Devils daripada zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris.

Perlawanan bermula dengan mimpi ngeri buat Amorim dan penyokong United apabila Jaden Philogene berjaya membolosi gawang tuan rumah akibat kelemahan pertahanan United minit keempat.

Namun, United menunjukkan reaksi yang pantas menyaksikan gol sendiri daripada kapten Ipswich, Sam Morsy, (m-22) dan jaringan Matthijs de Ligt (m-26) dalam tempoh singkat mengubah rentak perlawanan, meletakkan United di depan.

Drama tidak berhenti di situ apabila dua minit sebelum rehat, pemain pertahanan United, Patrick Dorgu, dilayangkan kad merah akibat terjahan lewat ke atas Omari Hutchinson.

Ipswich berjaya memanfaatkan kelebihan pemain apabila Philogene menjaringkan gol penyamaan minit ke-47 sejurus sebelum rehat.

Dengan separuh masa kedua berbaki, Ipswich mempunyai peluang keemasan untuk memanfaatkan kelebihan pemain.

Namun, Maguire muncul sebagai wira apabila menanduk masuk gol kemenangan United, memberikan tiga mata berharga buat pasukan tuan rumah.

Kemenangan ini melonjakkan United ke tangga ke-14, 16 mata di hadapan Ipswich yang berada di tangga ke-18.

Amorim mengakui bahawa tekanan di Old Trafford adalah faktor utama yang mempengaruhi prestasi pasukannya. Beliau sedar bahawa peningkatan prestasi di laman sendiri adalah kunci untuk memperbaiki kedudukan United dalam liga.

Sebelum perlawanan ini, United telah tewas lima daripada tujuh perlawanan liga di Old Trafford.

LIGA PERDANA INGGERIS

Keputusan

Brentford 1-1 Everton

Manchester United 3-2 Ipswich Town

Tottenham Hotspur 0-1 Manchester City

Nottingham Forest 0-0 Arsenal

Liverpool 2-0 Newcastle United



Source link

OR

Scroll to Top