syazrina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memberi jaminan akan terus memperkukuh kerjasama bersama agensi penguat kuasa dalam memastikan keselamatan sempadan negara terpelihara daripada sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.
MAHB dalam kenyataan hari ini berkata, sebagai pengendali lapangan terbang, pihaknya sentiasa meletakkan keselamatan dan sekuriti penumpang sebagai keutamaan utama.
Menurutnya, usaha itu dilaksanakan menerusi kerjasama rapat bersama pihak berkuasa berkaitan termasuk perkongsian maklumat serta koordinasi operasi bagi menangani sebarang ancaman di lapangan terbang.
“MAHB kekal komited untuk menyokong usaha pelbagai agensi ini dalam melindungi sempadan Malaysia daripada aktiviti menyalahi undang-undang dan akan memberikan segala bantuan yang diperlukan berkaitan kes ini,” katanya dalam kenyataan.
MAHB berkata, pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) bertanggungjawab mencegah tindakan campur tangan yang menyalahi undang-undang yang boleh menjejaskan keselamatan dan sekuriti penerbangan awam serta pengangkutan udara.
Katanya, AVSEC melaksanakan protokol keselamatan ketat serta menggunakan sistem pemeriksaan canggih yang ditentukan bagi mengesan ancaman seperti bahan letupan, senjata dan barangan berbahaya lain.
“Sistem pengendalian bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) direka bentuk berdasarkan keutamaan keselamatan kritikal itu.
“Semua bagasi daftar masuk yang berlepas melalui KLIA, sama ada milik penumpang atau kru penerbangan, tertakluk kepada pemeriksaan keselamatan penerbangan mengikut keperluan keselamatan yang ditetapkan,” katanya.
MAHB berkata, pengesanan, penyiasatan dan penguatkuasaan terhadap kesalahan membabitkan bahan terlarang yang tidak menimbulkan ancaman secara langsung terhadap keselamatan penumpang adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa penguatkuasaan berkaitan.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengendalikan kes berkaitan dadah, barang larangan serta bahan terlarang lain, manakala Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bertanggungjawab terhadap kes membabitkan penyeludupan hidupan liar.
“Agensi berkenaan
menjalankan fungsi masing-masing di lapangan terbang berdasarkan undang-undang serta prosedur penguatkuasaan yang berkuat kuasa,” katanya.
Dalam pada itu, pasukan AVSEC KLIA bekerjasama dengan PDRM dalam menyekat lebih 30 cubaan menyeludup bahan terlarang menerusi lapangan terbang itu antara Januari hingga Julai 2026.
“Susulan itu, pihak kami akan terus menjalinkan kerjasama dengan semua agensi penguatkuasaan dan pihak berkepentingan lapangan terbang dalam menangani aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya.
Terdahulu, seorang juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas dipercayai terbabit dalam cubaan membawa masuk dadah ke negara itu pada 29 Julai lalu.
Dalam kejadian itu, pihak berkuasa Indonesia merampas kira-kira 70,114 pil ekstasi dan empat gram berat kasar methamphetamine dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah 60 bilion rupiah (kira-kira RM13.66 juta).
Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai pernah melakukan kegiatan sama sebelum ini dan mempunyai hubungan dengan rangkaian pengedaran dadah antarabangsa, manakala siasatan masih berjalan bagi mengenal pasti individu lain yang dipercayai terbabit termasuk anggota sindiket serta penerima bekalan dadah berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut menjalankan siasatan bagi memastikan prosedur keselamatan penerbangan dipatuhi susulan kejadian itu.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, penilaian akan dibuat dari aspek kawal selia termasuk pematuhan syarikat penerbangan terhadap keperluan keselamatan penerbangan serta proses saringan yang dilaksanakan pengendali lapangan terbang.
#kw klia, mahb, avsec, undang-undang, pdrm, kuala lumpur
end
© New Straits Times Press (M) Bhd





