syafil.syazwan@hmetro.com.my
Shah Alam: Ibu kepada Nurul Shuhada Mat Shukri, Wan Latipah Yusof, menarik diri daripada menjadi responden kedua dalam kes hadanah membabitkan pelakon Hafidz Roshdi yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, hari ini.
Perkara itu disahkan oleh peguam yang mewakili Hafidz, Datuk Akberdin Abdul Kader, yang memaklumkan bahawa mahkamah meluluskan permohonan penarikan diri.
“Alhamdulillah, hari ini mahkamah membuat beberapa keputusan penting. Mahkamah meluluskan permohonan responden kedua, iaitu ibu kepada Shuhada, untuk menarik diri daripada menjadi pihak dalam kes ini.
“Permohonan untuk menyertai kes ini sebelum ini dibuat olehnya sendiri, dan kini dia memohon untuk menarik diri melalui peguamnya. Mahkamah membenarkan permohonan itu tanpa sebarang bantahan daripada pihak kami,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Akberdin, alasan penarikan diri yang dikemukakan oleh Wan Latipah adalah kerana dia tidak lagi mempunyai kawalan atau hubungan (contact) dengan anaknya memandangkan Shuhada kini menetap di luar negara.
“Tindakan asal sebenarnya hanyalah terhadap Shuhada seorang. Namun ibunya kemudian menyertai sebagai pihak yang dilantik dan kini menarik diri semula.
“Permohonan itu dibenarkan, dan mahkamah turut mengarahkan kos sebanyak RM2,000 dibayar kepada Hafidz oleh ibu Shuhada,” katanya.
Tambah Akberdin, perkembangan terbaharu itu menjadikan Shuhada satu-satunya responden yang tinggal dalam kes berkenaan selepas ibunya menarik diri dan peguam Shuhada juga sudah melepaskan perwakilan.
“Mahkamah turut mendapati terdapat unsur kurangnya komitmen daripada pihak Shuhada. Tiada peguam baharu dilantik dan dia sendiri tidak hadir ke mahkamah untuk memberikan sebarang makluman atau permohonan.
“Malah, peguam ibunya yang hadir hari ini hanya menguruskan penarikan diri anak guamnya dan tidak menyentuh langsung mengenai Shuhada sebagai Responden utama,” katanya.
Akberdin turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesungguhan pihak responden dalam mengendalikan kes ini, namun menegaskan bahawa pihaknya akan terus komited mengikuti perbicaraan penuh yang dijadualkan berlangsung pada bulan Julai akan datang.
“Seperti yang ditetapkan oleh mahkamah, perbicaraan penuh akan diteruskan. Kita akan hadir bersama saksi dan bukti yang relevan untuk membela hak anak guam kami,” katanya.
Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 29 Julai nanti.
Kes hadanah ini membabitkan tuntutan hak penjagaan dua orang anak hasil perkahwinan antara Hafidz dan Shuhada, yang kini dalam proses perceraian dan pertikaian hak penjagaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd