Putrajaya: Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan majoriti 2-1, menolak rayuan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mencabar penyahwartaan Bukit Cherakah sebagai hutan simpan.
Dua NGO tersebut ialah Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) dan Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF).
Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang, menolak rayuan tersebut, manakala seorang lagi Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Lee Swee Seng, menyampaikan keputusan berbeza.
Mahkamah tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.
Pada 9 September 2024, mahkamah tertinggi itu membenarkan dua NGO berkenaan untuk merayu terhadap penolakan permohonan semakan kehakiman mereka yang mencabar perkara tersebut.
Pada 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan dua NGO tersebut untuk memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan Kerajaan Negeri Selangor yang membatalkan pewartaan seluas 406.22 hektar di Bukit Cherakah.
Rayuan mereka kemudian ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 24 Jan 2024, atas alasan bahawa permohonan semakan kehakiman itu difailkan melepasi tempoh masa yang ditetapkan
Kedua-dua NGO itu kemudian membawa perkara tersebut ke Mahkamah Persekutuan, memohon kebenaran untuk merayu keputusan mahkamah rendah, dengan mendakwa adalah menyalahi undang-undang bagi Kerajaan Negeri Selangor untuk mengundurkan tarikh warta, dengan menyatakan bahawa keputusan pembatalan warta dibuat pada 20 November 2000.
Mereka mendakwa pewartaan itu dikeluarkan pada 5 Mei 2022, kira-kira 22 tahun selepas keputusan itu dibuat pada 2000
Dalam permohonan semakan kehakiman mereka, kedua-dua NGO tersebut menamakan Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor serta Jabatan Tanah dan Galian Petaling sebagai responden.
Responden lain ialah YCH Development Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Restu Mantap Sdn Bhd.
Dua NGO itu diwakili peguam Datuk Gurdial Singh Nijar, Rajesh Nagarajan dan Amanda Sonia Mathew, manakala Penolong Penasihat Undang-undang Negeri, Hani Aziza Ismail@Aziz dan Mary Phoon Keat Mee mewakili Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, serta Jabatan Tanah dan Galian Petaling.
Peguam lain ialah Ng Ka Choon dan Low Jiah Yee mewakili YCH Development Sdn Bhd, Ganapathi Ramasamy, Al Sabri Ahmad Kabri dan Marlia Mohd Azrin mewakili Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, serta John Wong Yok Hon mewakili Restu Mantap Sdn Bhd.
Peguam New Sin Yew dan Abhilaash Subramaniam mewakili Majlis Peguam Malaysia sebagai amicus curiae (rakan mahkamah).
© New Straits Times Press (M) Bhd






