Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan berhubung rayuan Datuk Seri Najib Razak untuk menghidupkan semula tuntutan saman RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara (AG) Tan Sri Tommy Thomas.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Ravinthran N. Paramaguru membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Yudistra Darma Dorai, yang mewakili bekas Perdana Menteri itu, serta peguam Alan Andrian Gomez bagi pihak Thomas.
“Kami akan membuat keputusan kemudian… kes ini ditetapkan untuk pengurusan pada 15 Okt,” kata Ravinthran yang bersidang bersama-sama Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Nadzarin Wok Nordin.
Najib mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 Nov 2022 yang membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman Najib tanpa perbicaraan penuh.
Dalam samannya, Najib mendakwa Thomas melanggar kuasa dalam jawatan awam apabila mendakwanya berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Terdahulu, Firoz Hussein berhujah bahawa anak guamnya telah dinafikan hak untuk membalas dan menangkis perkara yang diteliti oleh Mahkamah Tinggi, yang tidak pernah dibangkitkan oleh mana-mana pihak sepanjang perbicaraan kes itu.
Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila memutuskan bahawa Thomas mempunyai kekebalan mutlak sebagai AG.
“Terdapat banyak keputusan di Malaysia dan bidang kuasa lain yang memutuskan bahawa AG boleh dipertanggungjawab sekiranya menyalahgunakan kuasa,” katanya sambil menambah bahawa isu di hadapan mahkamah turut membabitkan kepentingan awam.
Alan pula berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila memutuskan bahawa saman itu boleh dibatalkan atas alasan ia tidak boleh diadili mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata unsur cuai dan salah guna dalam tuntutan bagi misfeasans dalam jawatan awam memerlukan penentuan sama ada responden (Thomas) ketika mengemukakan pertuduhan telah menyalahgunakan kuasanya, atau cuai atau tidak peduli sama ada tindakan itu menjejaskan perayu.
“Perkara-perkara ini secara langsung adalah berkaitan dengan merit kes. Malah, tiada butiran khusus dalam pernyataan tuntutan yang menjelaskan bagaimana responden cuai atau menyalahgunakan kuasanya,” katanya.
Menerusi saman itu, Najib mendakwa telah dituduh melakukan rasuah dalam skandal 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Thomas menyandang jawatan sebagai AG dari 4 Jun 2018 hingga 28 Februari 2020.
Najib memohon pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan penyelewengan jawatan awam serta menuntut ganti rugi sebanyak RM1.9 juta termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta untuk menghadapi pendakwaan terhadapnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd