Mahkamah Tolak Permohonan Saman RM1 Juta Terhadap Syarikat Tudung Milik Fazura

Mahkamah Tolak Permohonan Saman RM1 Juta Terhadap Syarikat Tudung Milik Fazura


Mahkamah Tinggi semalam menolak permohonan penghakiman terus yang difailkan Obor Holding Sdn Bhd terhadap Pink Fate Sdn Bhd, syarikat berkaitan selebriti terkenal, Nur Fazura Sharifuddin, dalam tuntutan saman berjumlah RM1 juta.

Keputusan itu dibuat Hakim Shoba Rajah a/p Dorai Rajah, yang memutuskan kes berkenaan wajar melalui proses perbicaraan penuh kerana wujud isu-isu fakta serta undang-undang yang memerlukan penelitian.

Memetik laporan Berita Harian, peguam yang mewakili Fazura dan Pink Fate, Fakhrul Azman Abu Hassan, mengesahkan perkara tersebut dan menyatakan pihaknya menyambut baik keputusan mahkamah.

“Terdapat isu-isu fakta dan undang-undang yang memerlukan perbicaraan penuh.

“Mahkamah berpandangan kes ini bukan kes mudah (straightforward) yang jelas menunjukkan kewujudan hutang seperti didakwa plaintif,” katanya.

Fazura

Menurutnya, permohonan itu difailkan di bawah Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 yang membolehkan sesuatu kes diputuskan tanpa perbicaraan sekiranya fakta tidak dipertikaikan.

Namun, kata Fakhrul, mahkamah berpendapat Pink Fate mempunyai pembelaan yang bermerit.

“Mahkamah bersetuju bahawa terdapat pembelaan yang mempunyai merit dan perlu dibicarakan.

“Ini menunjukkan bahawa kes ini tidak boleh diputuskan semata-mata berdasarkan dokumen,” jelasnya.

Permohonan penghakiman terus itu hanya difailkan terhadap Pink Fate Sdn Bhd, manakala dua lagi defendan iaitu, Fazfit Sdn Bhd dan Fazura tidak termasuk dalam permohonan tersebut.

Pada April lalu, Obor Holding memfailkan saman bernilai RM4.65 juta terhadap ketiga-tiga defendan berhubung isu perjanjian perniagaan tudung di bawah jenama Fazura.

Namun, setakat ini pihak plaintif mahupun defendan belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keputusan terbaharu itu.

Sumber: Berita Harian



Source link

OR

Scroll to Top