najiy.jefri@hmetro.com.my
SELEPAS berjaya menawan hati peminat menerusi lagu Tamil kini Zubir Khan mahu terus mengorak langkah dalam perjalanan seninya.
Artis muda berbakat yang mencetus fenomena tersendiri ini bukan sahaja menunjukkan keberanian dalam menyelami budaya dan bahasa berbeza, tetapi kini turut bercita-cita menguasai bahasa Mandarin.
Katanya, hasrat itu sudah lama dipendam selepas abangnya berjaya menguasai bahasa itu, sekali gus memberi cabaran baharu kepada dirinya.
“Abang saya kata bahasa Mandarin mudah dikuasai, jadi saya pun mahu cuba.
“Memandangkan saya kini boleh bertutur dalam empat bahasa iaitu Urdu, Tamil, Inggeris dan Melayu, saya nak cabar diri dan belajar bahasa Mandarin.” katanya.
Walaupun perjalanan untuk mahir dalam bahasa Mandarin mungkin memerlukan masa, Zubir yakin dia mampu menguasainya dengan kesungguhan yang sama seperti ketika mempelajari bahasa Tamil.
Menurutnya, salah satu inspirasi utama dia berjaya menguasai bahasa Tamil adalah minatnya terhadap muzik Tamil selain mengagumi bakat dimiliki komposer terkenal dari India, Anirudh Ravichander.
“Saya fasih bahasa Tamil sebab selalu dengar lagu Tamil. Pada mulanya, sebutan saya tidak lancar, tetapi selepas selalu dengar, saya mula dapat tangkap sebutan yang betul.
“Saya akui banyak belajar daripada cara Anirudh menggabungkan elemen muzik tradisional dengan moden sebagai inspirasi untuk lagu saya,” katanya.
Siapa sangka, selepas single Yennode Macha mencetuskan fenomena luar biasa, Zubir kini dalam perancangan menghasilkan album mini.
Dengan semangat tinggi, Zubir berpendapat muzik mempunyai kuasa untuk menyatukan budaya berbeza dan itu elemen yang ingin dia sampaikan dalam mini albumnya nanti.
“Saya sebenarnya takut nak buat album, tapi saya kena cuba sesuatu yang baharu untuk maju.
“Setakat ini dua lagu sudah siap dirakam hanya berbaki tiga lagu lagi. Saya mencari inspirasi untuk memastikan album ini diterima baik oleh semua lapisan masyarakat dan bangsa.
“Sejujurnya buat album ini beri saya perspektif baharu sebagai penyanyi. Bukan mudah untuk memastikan setiap lagu berkualiti dan memenuhi kehendak pendengar. Tapi, ini impian saya,” katanya.
Tambahnya, minat yang mendalam terhadap budaya dan keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu, Zubir bertekad melangkah maju dalam industri muzik.
Katanya, dia kini dalam perancangan berkolaborasi dengan seorang penyanyi dari India.
“Saya tak boleh nak kongsikan siapa gerangan penyanyi itu lagi, tapi saya menuju ke arah itu.
“Kali ini saya nak bawa nama Malaysia dan buat lagu bersama penyanyi dari India.
“Kerjasama ini mungkin ambil masa, jadi saya tak boleh nak beritahu masa yang tepat untuk dikongsi kepada peminat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd