am@hmetro.com.my
Sik: Anak kepada mangsa bunuh di Kampung Sekolah Juru, Seberang Perai merayu agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat palsu berhubung insiden tragis yang menimpa keluarganya.
Mohd Noor Hafifi Hassan, 28, anak kepada Sariya Che Hin, 51, dan abang kepada Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, berkata, keluarga mereka masih terkejut, trauma dan sedih dengan tragedi itu yang berlaku semalam.
“Saya harap netizen jangan buat spekulasi atau tuduhan melulu. Kami masih bersedih dan perlukan ruang untuk tenangkan diri.
“Biar polis jalankan siasatan, kalau sesiapa ada bukti, boleh lapor ke balai polis tanpa sebar di media sosial,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian ibu dan adiknya di Tanah Perkuburan Islam Masjid al-Maarif, Jeneri, malam ini.
Mengulas kenangan terakhir bersama ibunya, Hafifi berkata, dia masih ingat pesanan arwah supaya sentiasa berbuat baik dan tidak membalas kejahatan dengan keburukan.
“Ibu selalu pesan saya jadi anak yang baik, jangan buat jahat pada orang walau orang buat kita macam-macam. Pesan itu akan saya pegang sampai bila-bila,” katanya sebak mengenangkan kehilang orang tersayang.
Mohd Noor Hafifi juga memaklumkan kali terakhir berhubung dengan ibunya menerusi mesej WhatsApp beberapa hari sebelum kejadian, malah bercadang pulang ke kampung semalam atau hari ini.
“Tapi bila dapat panggilan malam itu (semalam), saya macam tak percaya. (Bergegas pulang) Bila sampai, tengok sendiri… polis sudah ramai (memenuhi rumah),” katanya.
Mohd NoorHafifi yang berkhidmat sebagai jurutera di Perak mahu keadilan buat ibu dan adiknya ditegakkan dan tidak akan berdiam diri sekiranya ada pihak cuba menutup kebenaran.
“Kalau ada tangan-tangan yang cuba ‘drop’ kes ini, saya takkan biar ia berlaku. Saya akan ‘fight’ sampai habis. Ini saja yang saya mampu buat untuk balas jasa ibu dan adik saya,” katanya yang menasihati masyarakat agar mengambil iktibar daripada tragedi itu dan mengutamakan kasih sayang dalam keluarga selagi masih ada.
Pemuda itu juga berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam mengurus jenazah ibu dan adiknya hingga selesai dikebumikan.
Berita berkaitan
• Ibu, anak mati dibunuh: Kematian kedua-dua mangsa akibat tetakan di belakang leher
• Kes bunuh wanita dan kanak-kanak 11 tahun: Sariya ambil Nur Afrina sebagai anak angkat sejak kecil
- Lelaki ditahan polis
- Rakaman suara tular: ‘Isteri aku dengan anak aku kena bunuh’
- Suami sebak beritahu jiran anak isteri mati dibunuh
- Ibu, anak dipercayai dibunuh dalam keadaan mengerikan
© New Straits Times Press (M) Bhd