PETALING JAYA: Penyanyi dan guru vokal, Shafiq Erwin mengingatkan individu yang bergelar pendidik seni suara agar tidak menyalahgunakan istilah muzik dan teknikal vokal ketika mengajar.
Shafiq atau Mohamad Shafiq Erwin, 28, berkata, teguran tersebut dibuat kerana dia enggan melihat pelajar keliru dengan penyampaian ilmu vokal yang tidak tepat.
Menurut Shafiq, tindakan segelintir pihak yang mengajar tanpa pengetahuan yang secukupnya akan menyusahkan guru vokal lain yang terpaksa memperbetulkan semula pemahaman salah tersebut.
“Saya tidak kisah sama awak itu mahu menjadi guru vokal disebabkan nama awak sudah terkenal, memiliki kelayakan akademik, mahupun sekadar mempunyai suara yang merdu. Tetapi, saya mohon agar awak jangan menyalahgunakan istilah dalam muzik dan teknikal vokal.
“Tindakan menyebarkan maklumat salah ini amat meletihkan bagi kami yang terpaksa ‘membersihkan’ semula istilah-istilah yang telah disalahgunakan itu kepada orang luar dan para pelajar. Kalau sudah diterangkan terma sebenar nanti baru tahu yang awak sebenarnya ‘semberono’ sahaja mengajar,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Shafiq menuntut golongan berkenaan agar lebih bertanggungjawab terhadap perkongsian ilmu muzik mereka bagi mengelakkan implikasi buruk terhadap kredibiliti pengajar seni suara secara keseluruhan.
Sebagai bukti komitmennya dalam dunia perguruan seni suara, Shafiq kini aktif mengendalikan premis latihan vokalnya sendiri yang dikenali sebagai Sevoce Studio bagi melatih barisan penyanyi industri tempatan.
Terdahulu, Mohamad Shafiq Erwin pernah menyertai program realiti kekeluargaan, Family Duo, dengan bergandingan bersama sepupunya yang juga penyanyi popular, Ara Johari.






