Dalam usaha memperluaskan langkah seni ke arah yang lebih pelbagai, pelakon popular Meerqeen mula meneroka ruang baharu di luar dunia lakonan.
Tidak hanya mahu dikenali menerusi bakat di hadapan kamera, Meerqeen juga menyimpan hasrat untuk mengembangkan kerjaya dalam bidang perniagaan sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjangnya dalam industri.
“Saya mahu cuba perkara baharu dan kembangkan kerjaya, bukan hanya dalam lakonan tetapi juga dalam dunia perniagaan.
“Jadi, saya mulakan dengan perniagaan biskut dan Alhamdulillah, percubaan saya mendapat respons positif,” jelasnya.
Produk biskut hasil kerjasama bersama Absolut Chocolat mencuri perhatian ramai apabila kesemua stok habis terjual dalam tempoh hanya lima jam di Absolut Bazaar Singapura baru-baru ini.
Menurut Meerqeen, kolaborasi tersebut merupakan satu projek istimewa kerana setiap perisa biskut dipilih sendiri olehnya berdasarkan biskut kegemaran yang sering dinikmati sejak dahulu lagi.
“Setiap perisa yang kami hasilkan memang diinspirasikan daripada biskut kegemaran saya. Saya nak peminat rasa sesuatu yang dekat dengan saya,” katanya.
Sambutan yang diterima juga di luar jangkaan apabila sebanyak 1,000 botol biskut terjual sepenuhnya dalam tempoh singkat, malah ramai pengunjung yang tidak sempat mendapatkan produk tersebut.
“Saya memang tak sangka sambutan peminat akan jadi sebesar ini. Terima kasih sangat kepada semua yang datang dan menyokong,” tambahnya lagi.
Kejayaan di Singapura itu bagaimanapun bukan penamat kerana produk biskut Meerqeen bakal membuat kemunculan seterusnya di Absolut Bazaar Kuala Lumpur pada minggu ini bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat mendapatkannya.






