Mahu 'tunjuk hebat', ada sanggup guna joki Strava

Mahu 'tunjuk hebat', ada sanggup guna joki Strava


Jakarta: Seiring dengan peningkatan populariti aktiviti larian, satu fenomena baharu mula mendapat perhatian apabila trend ‘joki’ larian atau lebih dikenali sebagai joki Strava digunakan.

Kompas melaporkan, joki Strava merujuk kepada individu yang berlari menggunakan nama atau akaun orang lain di aplikasi kecergasan seperti Strava, dengan bayaran tertentu mengikut permintaan pelanggan.

Menurut portal ini, joki Strava akan membawa telefon pintar atau jam tangan pintar milik pelanggan semasa berlari.

Peranti yang sudah siap dengan aplikasi Strava itu akan merekodkan jarak, masa, pace dan kadang-kadang kadar degupan jantung seolah-olah pelanggan sendiri yang melakukannya.

Jason, 16, remaja dari Jakarta Barat, antara yang aktif dalam ‘kerjaya’ joki Strava ini sejak beberapa bulan lalu.

Ketika ditemui di sekitar kawasan hotel di Jakarta Pusat, Jason bersama dua rakannya kelihatan berehat selepas selesai berlari sejauh lima kilometer.

“Biasanya mereka akan berikan telefon kepada saya, nanti saya bawa lari. Kebanyakan yang diberi itu telefon,” kata Jason yang masih bergelar pelajar sekolah menengah seperti dilaporkan Kompas.

Menariknya, Jason tidak menetapkan harga tetap untuk servis ditawarkan.

Bayaran biasanya ditentukan berdasarkan rundingan dengan pelanggan namun, jika terdapat permintaan khas seperti pace tertentu, caj akan menjadi lebih tinggi.

“Contohnya kalau minta pace bawah enam minit per kilometer, mesti jaga konsisten dari mula sampai habis. Lagi laju pace yang diminta, lagi mahal,” katanya.

Katanya, untuk larian sejauh lima kilometer dengan pace kira-kira empat minit per kilometer, bayaran boleh mencecah sehingga 300,000 rupiah (kira-kira RM90).

Walaupun aktif dalam bidang ini, Jason hanya membuka ‘servis’ jokinya pada setiap pagi Ahad, ketika berlangsungnya program Car Free Day (CFD) di sekitar Bundaran Hotel Indonesia, Jakarta Pusat.

“Saya cuma buat setiap Ahad, itu pun kalau ada permintaan. Maksimum dua orang sahaja setiap minggu,” katanya.

Fenomena joki Strava ini mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, khususnya dalam kalangan komuniti larian yang mementingkan keaslian dan pencapaian jujur dalam setiap kilometer yang dicatat.

Namun, bagi sesetengah pihak, ia mungkin sekadar satu bentuk ‘jalan pintas’ untuk mendapatkan prestasi cemerlang walaupun bukan atas usaha sendiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top