am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pengurus projek sebuah syarikat swasta mengalami kerugian lebih RM130,000 selepas menjadi mangsa penipuan skim pelaburan dalam talian.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun, semalam, yang mendakwa dirinya ditipu satu skim pelaburan yang menawarkan keuntungan lumayan.
Beliau berkata, mangsa mendakwa kejadian bermula pada September 2024 apabila dia dihubungi seorang individu mengaku kakitangan sebuah bank terkemuka dan menawarkan pelaburan saham yang akan memberikan keuntungan 20 peratus daripada modal dilaburkan.
“Mangsa kemudian dimasukkan ke dalam satu kumpulan Whatsapp dan diberikan penerangan lebih lanjut.
“Tertarik dengan pulangan yang tinggi dan kaedah yang mudah, pada 13 November hingga 14 Disember tahun lalu, mangsa melakukan 30 transaksi pembayaran secara dalam talian ke dalam satu akaun bank yang diberikan suspek keseluruhannya berjumlah RM138,300.
“Pembayaran itu adalah sebagai modal untuk menyertai pelaburan dan juga pembayaran cukai keuntungan bagi mengeluarkan wang pelaburan kelak,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, pada awal Januari lalu, suspek memaklumkan kepada mangsa bahawa nilai saham mengalami kemerosotan dan mengeluarkan mangsa daripada kumpulan Whatsapp pelaburan itu.
Katanya, suspek kemudian turut menyekat mangsa daripada menghubunginya menyebabkan mangsa rasa ditipu lalu membuat laporan polis.
Mohd Sohaimi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan
“Selain daripada itu, tindakan siasatan juga akan meliputi pembabitan keldai akaun di bawah Seksyen 424 kanun keseksaan kerana kesalahan berkaitan instrumen pembayaran atau akaun di institusi kewangan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd