SEGELINTIR orang tidak takut pada Tuhan, namun lebih bimbang jika ada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) datang mengetuk pintu rumah mereka.
Meskipun bukan semuanya begitu, namun ironinya, demikianlah realiti sebenar yang dihadapi institusi zakat pada hari ini apabila agensi tersebut bukan sahaja berdepan soal kutipan dan agihan, tetapi juga soal sikap dan mentaliti penerima.
Perkara itu diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan.
AHMAD AZRIN
Dedah beliau, wujud segelintir individu yang tergamak menipu maklumat permohonan semata-mata untuk mendapatkan bantuan zakat walaupun mereka tidak layak.
“Ada sebahagian orang, dia tidak takut dengan hukuman ALLAH dan soal dosa serta pahala. Tidak kisah sama ada wang ini wang zakat ataupun tidak.
“Namun yang lebih ditakuti ialah SPRM misalnya dan Jabatan Audit Negara,” katanya ketika menjadi panel dalam program Podcast POV Sinar Islam Plus bersama MAIDAM bertajuk ‘Zakat & Kepimpinan: Tanggungjawab Moral dan Amanah Institusi’ yang disiarkan dalam semua platform media sosial Sinar Islam Plus dan Sinar Harian baru-baru ini.
Menyedari hakikat itu, MAIDAM merangka pendekatan lebih menyeluruh dalam membantu asnaf iaitu tidak hanya dengan menyalurkan bantuan tunai atau fizikal semata-mata, tetapi juga menyuntik elemen spiritual dan pemikiran positif kepada golongan terbabit.
“Kita jarang bincang soal bagaimana majlis agama memberi bantuan spiritual kepada asnaf fakir miskin.
“Sebenarnya, inilah yang akan menentukan sama ada asnaf yang dibantu itu betul-betul layak untuk menerima bantuan ataupun tidak,” jelas beliau.
Tapis asnaf guna data telus
Bukan itu sahaja, jelas Ahmad Azrin, MAIDAM juga melakukan penambahbaikan garis panduan agihan zakat melalui dasar baharu 2023-2027, termasuk penyesuaian kadar had kifayah agar lebih mencerminkan realiti kos sara hidup masa kini.
Di samping itu, ujar beliau, MAIDAM turut menjalin kerjasama strategik bersama pihak luar seperti SPRM dan Jabatan Audit Negara dalam usaha menambah baik proses audit serta pemantauan agihan zakat.
“Usaha ini membantu mengurangkan risiko ketirisan di peringkat pemohon mahupun pelulus permohonan,” ungkapnya.
Pada masa sama, Ahmad Azrin menjelaskan, MAIDAM melaksanakan audit tahunan secara dalaman dan luaran.
Jelas beliau, gabungan semakan sistematik dan pemerhatian dari luar membentuk satu ekosistem kerja yang telus serta berlandaskan rasa bertanggungjawab terhadap Tuhan.
Bantu keluar kepompong kemiskinan
Menariknya, MAIDAM turut melakar program jangka panjang yang memberi peluang kepada asnaf untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

AHMAD AZRIN (dua dari kanan) mengagihkan bantuan zakat kepada asnaf baru-baru ini.
Ahmad Azrin memberi contoh program kerjasama antara pihaknya, Yayasan Pendidikan MAIDAM, University College Bestari di Setiu, Terengganu dan sebuah hospital swasta milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri itu.
Menerusi program itu, anak-anak asnaf ditaja sepenuhnya menyambung pengajian kejururawatan, menjalani latihan amali dan diserap sebagai kakitangan tetap.
Program seperti ini bukan sahaja mengangkat martabat asnaf melalui pendidikan dan pekerjaan, tetapi turut membina kemandirian dalam jangka panjang.
Selain itu, MAIDAM juga bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam program Baiti Jannati, membina rumah untuk keluarga asnaf fakir miskin.
“Sementara rumah disiapkan, MAIDAM tampung bantuan sewa. Program-program seperti ini membolehkan setiap institusi digabungkan, yang beri banyak manfaat kepada asnaf,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Azrin menjelaskan, MAIDAM sedang merancang untuk melakukan pemutihan data asnaf secara digital dengan kerjasama Amanah Saham Nasional Berhad dan Lembaga Tabung Haji bagi memastikan hanya yang layak tersenarai dalam sistem bantuan.
“Jika dulu bergantung kepada pengakuan mulut pemohon, kini MAIDAM sudah boleh ‘tahu tipu’ tanpa perlu bertanya,” jelasnya.
Dalam hal pengurusan zakat, Ahmad Azrin menekankan bahawa pemimpin mesti menunjukkan teladan yang baik dan menjaga amanah seperti Khalifah Umar Al-Khattab RA dan Umar Abdul Aziz yang membezakan urusan peribadi serta rasmi.
Tambah beliau, budaya organisasi yang sihat bermula daripada pemimpin yang bersedia ditegur dan sentiasa bermuhasabah diri.

AGIHAN bantuan zakat kepada asnaf dilakukan secara berkala oleh MAIDAM.
Pada akhir program podcast, Ahmad Azrin menzahirkan harapan agar semua pihak tidak melihat zakat sebagai beban, tetapi tanggungjawab membina ummah.
“Saya berharap mereka yang layak untuk membayar zakat di Terengganu, lakukan demikian. Kita cari rezeki di situ dan agihkan juga di tempat itu,” katanya.
Pada masa sama, MAIDAM lebih cenderung mengambil pendekatan pematuhan secara sukarela berbanding menggunakan undang-undang.
“Kita hendak beri pendidikan dan kesedaran. Inilah yang dilakukan oleh Khalifah Umar Al-Khattab RA dan Umar Abdul Aziz, tetapi bila tak jalan juga, baru kita gunakan peruntukan undang-undang yang ada,” jelasnya.