am@hmetro.com.my
Pasir Gudang: Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) akan membantu lima beradik berusia tiga hingga 17 tahun yang menjadi yatim piatu, selepas ibu dan bapa mereka meninggal dunia dalam insiden kemalangan jalan raya, Sabtu lalu.
Pada kejadian itu, Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37, dan Linda Mohd A Aziz, 35, meninggal dunia di lokasi apabila motosikal Honda Vario ditunggang dirempuh pemandu Perodua Alza dipercayai di bawah pengaruh alkohol, di Jalan Besar/Jalan Mesjid, jam 4 pagi.
Amil Baitulmal Johor Bahru Dr Mohd Firdaus Abdul Hamid berkata, bantuan saraan bulanan RM500 akan diberikan kepada nenek atau datuk yang mengambil tanggungjawab menjaga lima beradik ini.
Katanya, Mainj juga akan membantu bayaran bulanan sewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang didiami keluarga berkenaan selagi mereka mendapat bantuan saraan bulanan.
“Selain itu, anak-anak ini juga akan diberi bantuan awal persekolahan dan keperluan bantuan hari raya.
“Mainj juga memberi bantuan awal kepada keluarga ini dengan bungkusan makanan dan wang berjumlah RM500,” katanya ditemui pada ziarah Mainj di kediaman nenek lima beradik berkenaan, Ramlah Kasiran di Flat Taman Cendana di sini, semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd