Berlin: Mainz 05 meneruskan kebangkitan menakjubkan apabila menewaskan Eintracht Frankfurt 2-1 dalam aksi Bundesliga, awal pagi tadi.
Wira kemenangan tuan rumah ialah Paul Nebel yang meledak gol kemenangan pada minit ke-89 selepas pelawat terlebih dahulu menyamakan kedudukan menerusi Nathaniel Brown pada minit ke-20.
Sebelum itu, Nebel membuka jaringan awal buat Mainz, namun Frankfurt bangkit seketika sebelum jaringan lewat itu memastikan tiga mata penuh buat tuan rumah.
Kebangkitan Mainz cukup luar biasa selepas mereka berada di tangga tercorot ketika Urs Fischer mengambil alih pasukan pada Disember lalu.
Sejak itu, Mainz hanya tewas dua daripada 18 perlawanan dalam semua kejohanan dan kini melonjak ke tangga ke-11, enam mata di atas zon playoff penyingkiran.
Lebih manis, mereka turut melakar sejarah apabila mara ke suku akhir Liga Konferens Europa UEFA buat kali pertama selepas menewaskan Sigma Olomouc, Khamis lalu.
Dalam aksi lain, St Pauli terus tertekan apabila tewas 1-2 di laman sendiri kepada Freiburg meskipun mendahului awal perlawanan.
Dua gol Freiburg dijaringkan Igor Matanovic yang pernah menghabiskan 13 tahun bersama St Pauli, sekali gus menambah derita tuan rumah.
Kekalahan itu menyaksikan St Pauli kini berada di kedudukan playoff penyingkiran, dua mata di belakang Cologne yang turut membuat keputusan memecat jurulatih Lukas Kwasniok.
Penolong jurulatih, Rene Wagner akan mengambil alih tugas secara sementara.
Sementara itu, Stuttgart berpeluang melonjak ke tangga ketiga liga sekiranya mengelak kekalahan ketika bertemu Augsburg dalam satu lagi aksi.
© New Straits Times Press (M) Bhd






