TAIPING: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) meluluskan bantuan sebanyak RM18,000 untuk kos rawatan seorang kanak-kanak perempuan, Nur Kaisah Zahra, 9, yang melecur kira-kira 40 peratus selepas disambar api percikan petrol ketika bermain berhampiran rumah jirannya baru-baru ini.
Pengurus Besar MAIPk Zon Utara, Mohd Saufi Ibrahim berkata, bantuan itu disalurkan selepas pihaknya mengambil maklum mengenai keadaan mangsa yang memerlukan rawatan segera dengan kos yang tinggi.
Menurutnya, MAIPk mengambil inisiatif mendapatkan maklumat lanjut dengan kerjasama pihak media yang menyalurkan maklumat berkaitan.
“MAIPk sentiasa komited membantu golongan memerlukan terutama dalam situasi kecemasan seperti kemalangan dan kebakaran yang memerlukan perbelanjaan rawatan tinggi,” katanya.
Beliau menyampaikan surat kelulusan dana bantuan perubatan kepada waris kanak-kanak tersebut di Hospital Taiping di sini hari ini.
Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Ghafar Masran, 50, bersyukur atas bantuan yang diterima dan menyifatkannya sebagai satu kelegaan besar buat keluarganya.
“Saya berasa sangat bersyukur dan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak MAIPk atas bantuan yang diberikan untuk rawatan anak saya,” katanya.
Dia berkata, anaknya telah menjalani pembedahan menampal kulit yang rosak akibat melecur pada hari ini yang bermula sekitar pukul 8.30 pagi dan selesai kira-kira pukul 2 petang.
“Alhamdulillah, dia sudah sedar. Kulit yang digunakan diambil daripada bahagian badan yang tidak terbakar untuk menampal kawasan yang terjejas,” katanya. – UTUSAN






