MAIS bertindak tegas isu salah guna kuasa di rumah anak yatim

MAIS bertindak tegas isu salah guna kuasa di rumah anak yatim


SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan mengambil tindakan undang-undang termasuk meminta siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilakukan terhadap mana-mana pengusaha rumah anak yatim melakukan penyelewengan serta salah guna kuasa.

Tindakan undang-undang itu termasuklah rumah-rumah kebajikan yang berdaftar di bawah Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) di seluruh negeri ini.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, amaran itu diberikan untuk mengelakkan daripada tindakan sumbang itu bukan sahaja menjejaskan imej rumah kebajikan bahkan masa depan anak-anak yatim yang dijaga.

“Kita mengadakan program pemerkasaan tadbir urus dan integriti rumah kebajikan anak yatim berdaftar di bawah YIDE di Selangor dengan melibatkan pihak pengurusan di 32 rumah kebajikan anak yatim di negeri berkenaan.

“Tujuan amat penting untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan tadbir urus yang baik serta memantapkan integriti bagi memastikan pihak bertanggungjawab (pengurusan rumah kebajikan anak yatim) patuh kepada undang-undang. Ia juga dapat memainkan peranan penting dalam memastikan setiap rumah kebajikan anak yatim di bawah seliaan YIDE beroperasi dengan penuh beretika,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup Program Kesedaran Pemerkasaan Tadbir Urus dan Intergriti Rumah-Rumah Kebajikan Anak Yatim Selangor, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad mengarahkan sekolah agama dan maahad tahfiz yang terlibat dengan masalah penderaan gangguan seksual di negeri ini di tutup.

Amaran tersebut diberikan susulan penemuan pelajar sebuah sekolah tahfiz dekat Bukit Jelutong, di sini yang dilaporkan hilang, baru-baru ini apabila mendakwa melarikan diri daripada gangguan seksual di sekolahnya.

Dalam pada itu, Pengerusi YIDE, Tan Sri Mazlan Mansor memaklumkan, program pemerkasaan tadbir urus itu adalah langkah proaktif yang diambil untuk memperkasa pengurusan rumah-rumah kebajikan di negeri Selangor.

“Pada masa sama, ia diharapkan dapat untuk mendidik pengurusan agar terus menjaga amanah yang diberikan, demi kebajikan anak-anak yatim yang ditempatkan di rumah-rumah kebajikan ini,” ujarnya.

Tambahnya lagi, ia juga bagi memastikan pengurusan rumah kebajikan anak-anak yatim di bawah pengurusan YIDE mematuhi piawaian tertinggi dari segi ketelusan, akauntabiliti dan pengurusan sumber berintegriti. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top