MAIWP komited santuni asnaf melalui pelbagai inisiatif, kluster bantuan

MAIWP komited santuni asnaf melalui pelbagai inisiatif, kluster bantuan


KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) komited untuk terus menjaga kebajikan golongan asnaf menerusi pelbagai inisiatif dan kluster bantuan bagi menyantuni masyarakat yang memerlukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Pengerusinya, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, menerusi usaha bersama itu, MAIWP berjaya mengagihkan sejumlah RM314,879,762.44 dana zakat kepada golongan asnaf setakat 21 April lalu.

Jelasnya, keupayaan MAIWP melaksanakan bantuan berskala besar itu adalah hasil sokongan berterusan masyarakat Islam yang menunaikan zakat melalui MAIWP dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP).

“Ia membuktikan bahawa ekosistem zakat yang telus dan efisien mampu menjadi pemacu utama kepada keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat di bandar raya.

“Justeru, program Rahmah Syawal Madani ini bukan sekadar acara agihan, sebaliknya menjadi platform penyatuan antara institusi dan komuniti yang memerlukan.

“Suasana majlis hari ini menyaksikan kehadiran asnaf dari pelbagai latar belakang yang diraikan dengan penuh kasih sayang dan penghormatan.

“Ia mencerminkan wajah sebenar Malaysia Madani, iaitu masyarakat yang saling menyantuni dalam semangat persaudaraan,” katanya pada program Rahmah Syawal Madani: Jalinan Aidilfitri Bersama Asnaf, kelmarin.

Pada majlis sama, MAIWP turut menyampaikan sumbangan khas RM200 berserta cenderahati bernilai RM120 kepada 400 orang asnaf manakala 200 orang kanak-kanak menerima duit raya sebanyak RM50 melibatkan dana zakat berjumlah RM138,000.

Terdahulu, antara kluster yang terlibat dalam sumbangan MAIWP adalah Kluster Bantuan Kebajikan bernilai RM113,596,175.18, diikuti Wakalah (RM87,192,855.37), Agihan Zakat Bahagian Amil (RM42,970313.59) dan Kluster Bantuan Pembangunan Ummah (RM21,836,370.87).

Selain itu, ia juga membabitkan Kluster Bantuan Pendidikan bernilai RM17,061688.84, Kluster Bantuan Perlindungan (RM8,909,964.30), Institusi MAIWP (RM8,020,514), Kluster Bantuan Perubatan (RM7,851,442.80), Kluster Pembangunan Asnaf (RM5,443,588) dan Penyelenggaraan Prasarana (RM1,996,848.49).

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, MAIWP membawa peranan yang penting dalam memastikan golongan asnaf di Malaysia terus terbela melalui agihan dana zakat.

“MAIWP dengan peranannya sebagai satu institusi yang penting untuk membantu dan memberikan perlindungan dan kebajikan kepada asnaf. Ini adalah tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada mereka untuk menggalasnya.

“Justeru, MAIWP menerusi peranannya yang berterusan dengan jumlah zakat yang telah diberikan oleh pembayar-pembayar zakat, sudah tentu MAIWP berperanan untuk memastikan zakat yang telah dikutip, diberikan kepada mereka yang layak untuk menerima sumbangan tersebut.

“Oleh itu, majlis yang diadakan pada hari ini adalah sebahagian daripada program-program yang diatur oleh MAIWP untuk meraikan golongan asnaf,” katanya.-UTUSAN.





Source link

OR

Scroll to Top