Majikan digesa daftar Perkeso sebelum 1 Jun

Majikan digesa daftar Perkeso sebelum 1 Jun



am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Majikan terutama kategori pemilikan tunggal digesa untuk mendaftar dan mencarum pekerja mereka secara sukarela dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebelum 1 Jun ini bagi memastikan hak asasi pekerja terbela.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, majikan diberi tempoh 30 hari, berakhir 31 Mei ini untuk mendaftar dan mencarum pekerja mereka walaupun hanya menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja (tanpa mengira jumlah gaji) termasuk mereka yang mempunyai pembantu rumah dan pekerja asing.

Katanya, tempoh yang diperuntukkan sempena Bulan Pemutihan kali ke-15 ini adalah peluang akhir kepada majikan untuk berbuat demikian dengan pengecualian daripada kompaun, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB).

“Sekiranya majikan masih gagal berbuat demikian dalam tempoh pemutihan, Perkeso tidak akan berkompromi dengan ketidakpatuhan majikan dan tiada lagi pengecualian dan tindakan penguatkuasaan akan dipertimbangkan kepada majikan terbabit menerusi Ops Kesan 2024 yang akan dilaksanakan pada Jun ini.

“Kegagalan majikan untuk mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan pengkompaunan dan pendakwaan yang mana jumlah kompaun yang dikenakan boleh mencecah RM5,000 mengikut kesalahan dilakukan.

“Jadi sebelum melaksanakannya, kita akan memberi tempoh pemutihan selama sebulan kepada majikan yang masih belum mendaftar dan mencarum untuk pekerja mereka, majikan diminta tampil berbuat demikian di 54 pejabat Perkeso seluruh negara dengan segera,” katanya pada sidang media Ops Kesan 2024 di sini, hari ini.

Menurutnya, majikan juga akan dikenakan FCLB pada kadar enam peratus setahun di atas setiap hari caruman lewat dibayar, ekoran kegagalan mendaftar dan membayar caruman Perkeso.

Beliau berkata, hasil dapatan Perkeso menunjukkan majikan dalam kategori pemilikan tunggal mencatat jumlah tertinggi bagi kesalahan lewat mendaftar dan mencarum selain kurangnya pengetahuan serta kesedaran mengenai kewajipan mencarum dalam kalangan majikan.

“Setiap tahun pegawai kita kena ‘ketuk pintu’ majikan dan sampai bila ia akan berlaku dan kami berharap mereka ini daftar secara sukarela dan mencarum.

“Yang penting jagalah kebajikan pekerja mereka kerana pekerja aset kepada majikan,” katanya.

Berdasarkan perangkaan Perkeso sehingga 31 Mac 2024, hampir 1.55 juta majikan sudah berdaftar dengan Perkeso di bawah Akta 4 namun jumlah yang aktif mencarum, iaitu sekurang-kurangnya satu caruman dalam tempoh 12 bulan adalah 600,819 majikan.

Jumlah pekerja aktif pula (sekurang-kurangnya satu caruman dalam tempoh 12 bulan) adalah seramai 9.70 juta orang.

Majikan boleh mendaftar menerusi dalam talian melalui Portal Assist atau hadir ke mana-mana 54 pejabat Perkeso di seluruh negara ataupun hubungi talian 1-300-22-8000.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top