September 8, 2024

Majlis Ulama UMNO harap kesilapan Aiman Athirah tidak diulangi pemimpin lain

Majlis Ulama UMNO harap kesilapan Aiman Athirah tidak diulangi pemimpin lain


KUALA LUMPUR – Majlis Ulama UMNO (MUU) Malaysia berharap kesilapan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Aiman Athirah Sabu hadir dalam majlis sumbangan melibatkan syarikat judi tidak diulangi oleh pemimpin kerajaan lain.

Menurutnya, kehadiran pemimpin kerajaan dalam program melibatkan syarikat judi dan arak boleh memberi isyarat yang salah kepada masyarakat.

“Merujuk kepada kehadiran Timbalan Menteri dalam program seumpama itu, difahamkan ia berlaku kerana salah faham dan Timbalan Menteri berkenaan telah memohon maaf atas kekhilafan.

“Namun, MUU menegaskan dan berharap ia tidak akan berulang lagi kepada mana-mana pemimpin kerajaan kerana ia akan memberi mesej yang salah kepada rakyat bahawa berlaku normalisasi terhadap penerimaan dana daripada aktiviti seperti ini,” katanya dalam kenyataan.

Majlis itu menegaskan dana sumbangan daripada syarikat yang terlibat dengan aktiviti yang dikategorikan sebagai memudaratkan seperti arak dan judi tidak wajar dijadikan sumber oleh pusat pendidikan.

Menurutnya, penerimaan sumbangan daripada syarikat terbabit merupakan normalisasi terhadap aktiviti yang sepatutnya dijauhi oleh pelajar dan masyarakat sivil yang baik.

Aiman Atirah yang juga Ahli Parlimen Sepang sebelum ini meminta maaf jika ada pihak yang sensitif dengan gambar beliau memegang replika cek berlogo syarikat arak pada satu majlis sumbangan di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga turut mengakui sebagai pemimpin beliau tidak boleh menghalang hak kaum lain.

“Namun saya percaya ramai yang akan faham situasi ini dan tidak akan termakan fitnah yang disebarkan.

“Khilaf ada di mana-mana, apapun kepada pihak yang tersinggung saya minta maaf sekali lagi,” ujarnya.

Aiman Athirah sebelum ini memenuhi undangan daripada Lembaga Pengurusan SJKC di Sepang bagi menghadiri Konsert Amal Pendidikan bertujuan membuat kutipan membina dewan sekolah yang didirikan sejak 30 tahun lalu.

Program itu dirasmikan oleh Exco Selangor, Ng Suee Lim dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pelek, Lwi Kian Keong.

Aiman Athirah berkata, beliau hadir ke program itu bagi memberi sokongan kepada pihak sekolah mengumpul dana membina dewan bagi keselesaan murid dan tidak mempunyai niat lain.-MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top