Penyanyi Nubhan berkata ibunya yang lebih mesra disapa Mak Jenny tidak tahu mengenai perkara yang hangat diperkatakan di media sosial mengenai isu rumah tangganya dengan isteri, Dr Afifah Hidayah.
Memetik Utusan Online, Nubhan berkata ibunya yang kini berusia 80 tahun hanya menonton televisyen selepas dimaklumkan dia menyertai Gegar Vaganza.
BACA: Difitnah Tuntut RM5 Juta, Ibu Mentua Nubhan Nak Saman
“Mak saya tak tahu apa-apa. Dia di rumah cuma tonton televisyen. Itupun bila saya beritahu ‘mak, adik masuk GV, tolong doakan’.
“Mak tak tahu apa yang berlaku di media sosial, tak tahu orang mengata. Dia cuma tahu saya dan isteri sudah berpisah. Tapi hidupnya tetap seperti biasa. Usianya pun sudah lanjut, kadang-kadang pun terlupa, badan pun sakit-sakit,” katanya.
Sementara itu, Nubhan berkata dia juga orang biasa dan bukan mudah untuk memberi fokus dalam program realiti berkenaan susulan rumah tangganya menjadi perhatian ramai.
“Saya ini orang biasa, mudah rasa lemah. Jadi saya hanya mohon kekuatan dan doa agar terus diberikan semangat untuk meneruskan perjuangan dalam Gegar Vaganza,” katanya.
Tambah Nubhan lagi, ibu dan anak-anaknya menjadi sumber kekuatannya untuk membuat persembahan serta meluahkan rasa syukur rakan-rakan banyak memberikan sokongan.
“Kekuatan saya adalah anak-anak dan mak saya. Kalau tak ada mereka, saya mungkin tak sekuat sekarang.
“Saya rasa cukuplah bercakap tentang perkara ini. Apa pun saya bersyukur kerana peminat dan rakan-rakan banyak memberikan sokongan dan kepercayaan. Kalau tidak, saya mungkin tidak berdaya untuk terus membuat persembahan,” katanya.
Sumber: Utusan Online






