Soalan:
Apakah maksud hadis akan tiba zaman ramai yang berkhutbah tetapi sedikit ulama?
Jawapan:
Terdapat beberapa hadis berkait perkara ini yang diriwayatkan dari matan yang berbagai dengan makna yang sama.
Antaranya ialah hadis yang telah diriwayatkan daripada Abu Zarr Al-Ghifari r.a. sungguhnya Nabi SAW telah bersabda:
إِنَّكُمُ اليومَ في زَمانٍ كَثِيرٍ عُلَماؤُهُ ، قَلِيلٍ خُطَباؤُهُ ، مَنْ تركَ عُشرَ ما يعرفُ فقد هُوَى ، و يأتي من بعدَ زمانٍ كَثِيرٌ خُطَباؤُهُ ، قَلِيلٌ عُلَماؤُهُ ، مَنِ استمسكَ بعُشرِ ما يعرفُ فقد نجَا
Ertinya: Sungguhnya kamu hari ini berada pada zaman yang ramai ulamaknya dan sedikit pengkhutbahnya. Siapa yang meninggalkan satu persepuluh dari apa yang dia ketahui nescaya dia mengikut nafsu. Dan akan datang selepas ini zaman yang ramai pengkhutbahnya dan sedikit ulamaknya. Siapa yang berpegang dengan satu persepuluh dari apa yang diketahuinya maka sungguhnya selamat.” (Hadis riwayat Bukhari di dalam Adabul Mufrad)
Erti ulama
Erti ulama iaitu orang yang mempunyai ilmu pengetahuan agama.
Dan erti pengkhutbah ialah orang yang menyampaikan syarahan atau ceramah tentang agama sama ada di masjid atau pejabat atau di internet atau lainnya sama ada dia berceramah secara rasmi atau dia hanya bercakap bersama kawan-kawan atau menulis di media sosial.
Penceramah yang dicela syarak
Dan yang dicela di sini ialah orang yang berceramah atau bersyarah tentang agama dalam keadaan tidak mempunyai ilmu seperti yang dapat dilihat pada zaman kita ini ramainya orang yang jahil berkata tentang agama sama ada tentang akidah atau syariat dan hukum hakam.
Adapun penceramah atau yang memberikan syarahan agama dari kalangan orang-orang yang mempunyai ilmu pengetahuan maka tidaklah dicela bahkan dipuji.
Pada zaman dahulu orang yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan tidak bercakap seperti zaman kita sekarang.
Boleh disaksikan pada zaman ini khususnya di dalam media-media sosial orang yang jahil berani bercakap tentang akidah dan hukum-hukum agama bahkan setengahnya menganggap mereka lebih tahu dari para ulamak dan puncanya ialah kerana mereka tidak mengerti apa suatu seperti haiwan yang tidak beraqal.
Sebab orang jahil dilarang berceramah
Dan sebab pun dicela memberikan ceramah atau syarahan agama dalam keadaan tidak mempunyai ilmu pengetahuan adalah kerana ia akan merosakkan agama itu sendiri dan menyesatkan orang yang mendengarnya sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Abdullah bin ‘Amr r.a. Nabi saw telah bersabda:
حتَّى إذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤُوسًا جُهَّالًا، فَسُئِلُوا فأفْتَوْا بغيرِ عِلْمٍ، فَضَلُّوا وأَضَلُّوا
Ertinya: Sehingga apabila tiada tinggal lagi orang berilmu maka manusia mengambil orang yang jahil sebagai pemimpin maka orang yang jahil ini akan ditanya lalu mereka menjawab tanpa ilmu lalu mereka menjadi sesat dan menyesatkan sekalian manusia.
Berkata ulama:
وليس في هذا ذم للخطباء بإطلاق، وإنما قد يستلزم ذماً للذين لا يعلمون، ويدعون إلى الله وهم جاهلون، وإنما مدح الله الذين يدعون إليه بعلم
Ertinya: Bukanlah pada hadith ini mencela bagi orang yang berkhutbah secara total hanya sungguhnya kecelaan hanyalah ke atas orang-orang yang jahil yang menyeru kepada agama Allah dalam keadaan kejahilan dan sungguhnya Allah itu memuji ia akan orang-orang yang mengajak kepada agama-Nya dengan ilmu.
Zaman ramai pandai baca al-Quran tapi tidak ramai ahli fiqh
Hadis di atas berlebih kurang maknanya dengan sebuah hadis di dalam Kitab Al-Muawatta’ daripada Yahya bin Said sungguhnya Ibnu Mas’ud r.a. berkata:
إنك في زمان كثير فقهاؤه، قليل قرَّاؤُه، تُحفظ فيه حدودُ القرآن، وتضيَّع حروفه، قليلٌ مَن يَسأل، كثيرٌ من يُعطي، يطيلون فيه الصلاة، ويُقصرون الخُطبة، يُبَدُّونَ أعمالهم قبل أهوائهم. وسيأتي على الناس زمانٌ قليلٌ فقهاؤه، كثيرٌ قرَّاؤُه، تُحفظُ فيه حروفُ القرآن، وتضَيَّع حُدودُه، كثيرٌ مَن يَسأل، قليلٌ مَن يُعطي. يُطيلونَ فيهِ الخُطبة، ويُقصرون الصلاة، يُبَدُّونَ فيه أهواءَهم قبلَ أعمالهم
Ertinya: Sungguhnya kamu sedang berada pada zaman ramai ahli fiqah dan sedikit yang qari dimana hudud Al-Quran itu dipelihara dan tidak diberatkan pada hurufnya dan sedikit yang meminta-minta dan ramai yang memberi sedekah dan solat adalah panjang dan khutbahnya adalah ringkas dan segala amalan mereka didulukan mengatasi keinginan mereka.
Dan akan datang nanti atas manusia zaman sedikit ahli fiqah dan ramai qarinya dimana yang dijaga hanya huruf-huruh Al-Quran tetapi disia-siakan hududnya dan yang ramai meminta sedekah dan sedikit yang memberi dan dipanjangkan padanya khutbah dan dipendekkan solat dan didulukan keinginan mereka sebelum amalan mereka. (Riwayat Imam Malik dalam Al-Muwattha’)
Kesimpulan
Hadis ini menjadi dalil tentang pentingnya ilmu dan menuntut ilmu agama.
Zaman yang ramai ulama padanya adalah zaman yang dipuji oleh syarak.
Penceramah atau orang yang bercakap hukum hakam agama wajib mempunyai ilmu dan mereka tidaklah dicela bahkan dipuji oleh syarak.
Orang jahil atau orang awam yang bercakap tentang hukum-hukum agama atau bersyarah soal agama sekalipun sedap didengar sebenarnya dia telah sesat dan akan menyesatkan orang yang mendengarnya walaupun dia digelar dengan ustaz atau lain-lain gelaran yang elok.
Jalan yang terbaik bagi orang awam dan orang jahil ialah diam dan mendengar para ulama bercakap tentang agama dan hukum-hukumnya.
Tanda seorang itu telah menjadi bodoh ialah apabila dia banyak bercakap sedangkan dia seorang yang jahil.
Berkata Ibnu Mas’ud r.a.:
فمن كثر علمه وقل قوله فھو الممدوح ومن كان بالعكس فھو مذموم
Ertinya: Maka siapa yang banyak ilmunya dan sedikit cakapnya maka dia terpuji dan siapa yang sedikit ilmunya tetapi banyak cakapnya maka dia tercela.
Wallahua’lam – HARAKAHDAILY 17/11/2024
Artikel ini diambil daripada laman Facebook Ustaz Azhar Idrus.