Malam Ramadan ketujuh penuh magis buat Faisal Halim

Malam Ramadan ketujuh penuh magis buat Faisal Halim


Faisal meledak hatrik di Stadium MBPJ.

MALAM Ramadan ketujuh di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyaksikan pesta gol luar biasa Selangor FC apabila melakar kemenangan memukau 7-0 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC dalam aksi Liga Super pada Sabtu.

Lebih istimewa, malam itu menjadi saksi kepada hatrik pertama musim ini, pemain bernombor tujuh, Faisal Halim yang memukau penyokong setia Raja Lembah Klang tersebut.

Stadium MBPJ bergemuruh dengan sorakan ‘Siuuu’ sebanyak tiga kali apabila meraikan hatrik sensasi pemain kelahiran Mengkuang Titi, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang tersebut.

Setiap golnya bukan sahaja memukau, malah membangkitkan semangat juang pasukan dan penyokong Red Giants yang akhirnya melihat Faisal menggegarkan jaring lawan buat kali pertama dalam tempoh 447 hari.

Jaringan hatrik itu juga menjadi bukti kepada kebangkitan Faisal bersama pasukan Merah Kuning selepas menjadi mangsa simbah asid pada Mei tahun lalu.

“Terima kasih kepada semua penyokong. Tiga gol ini untuk anda semua rakyat Selangor. Terima kasih kawan-kawan saya, terima kasih pengurusan pasukan, terima kasih penyokong-penyokong Selangor,” ujar Faisal,

Lebih istimewa lagi, hatrik yang dijelmakan pemain berusia 27 tahun itu menjadi hadiah sambutan ulang tahun perkahwinannya yang keenam.

Menerusi perkongsian di Instagram, Faisal turut mendedikasikan gol-gol tersebut buat anak lelakinya.

Kemenangan di laman sendiri itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Selangor FC di tangga kedua Liga Super, malah ia juga mengesahkan tempat The Red Giants dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim depan.

Sementara itu. pengendali Selangor FC, Kinoshi Katsuhito bertekad untuk memanfaatkan peluang beraksi di ACL2 sebagai platform untuk meningkatkan prestasi pasukan.

“Ini adalah langkah penting untuk membawa Selangor ke tahap yang lebih tinggi.

“Dan kita perlu bersedia untuk menghadapi cabaran yang lebih besar dan membuktikan kemampuan kita di pentas Asia,” katanya sambil menegaskan bahawa pencapaian mara ke ACL2 sebagai langkah penting untuk membawa pasukan keluar dari zon selesa.



Source link

OR

Scroll to Top