SKUAD Malayan Tigress perlu bermain sehabis baik kerana ini peluangnya untuk mereka menjuarai Piala AFF Wanita 2024 yang akan berlangsung pada 23 November hingga 5 Disember ini di Vientiane, Laos, sekali gus membuktikan kekuatan bola sepak wanita di Malaysia, kata jurulatihnya Soleen Al-Zoubi.
Soleen berkata, sasaran itu telah ditetapkan selepas beberapa pemain menempuh musim pertandingan yang panjang dalam Liga Wanita Nasional (LWN), Sukan Malaysia (Sukma) serta terlibat dalam kedua-dua perlawanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Sasaran kita sudah tentu untuk meraih juara dan ini sudah kita terapkan dalam fikiran. Sekarang adalah masanya untuk kita menang sesuatu, untuk kita membuktikan kepada semua kehebatan bola sepak wanita di Malaysia.
Soleen Al-Zoubi
“Kami juga perlu bersedia untuk tahun depan kerana kita akan ada banyak pertandingan. Jadi, ini adalah ujian sebenar untuk kita menunjukkan bahawa kita boleh bersaing,” katanya kepada media ketika kem latihan di Wisma FAM di sini pada Isnin.
Soleen yakin mereka bukan lagi pasukan yang boleh dipandang rendah kerana barisan yang ada sekarang menampilkan gabungan pemain senior dan junior yang telah membuktikan kemampuan mereka bersaing menentang pasukan seperti Laos dan Arab Saudi dalam perlawanan persahabatan sebelum ini.
Ditanya mengenai dua lawan terawal mereka iaitu Indonesia (26 November) dan Kemboja (29 November), Soleen berkata, Malaysia bernasib baik kerana berpeluang untuk mengkaji dan menganalisis sebanyak mungkin strategi kerana Indonesia dan Kemboja akan berdepan satu sama lain pada 23 November.
Sementara itu, pemain Lauren Hoh Ruyi dari Trinity College, Amerika Syarikat berkata, paling penting untuk diperbaiki ketika ini ialah dari segi mental terutama keupayaan untuk bermain di bawah tekanan dalam satu perlawanan dan kejohanan besar.
“Saya terbuka untuk bermain sebarang posisi dan di mana juga jurulatih letakkan saya, saya akan buat yang terbaik. Kita akan ikut dan percaya dengan keputusan jurulatih,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman melihat peningkatan kehadiran pemain wanita dalam bola sepak sebagai perkembangan positif dan berharap lebih ramai daripada mereka dapat menarik perhatian pasukan luar negara sebagaimana Nurul Azurin Mazlan yang sebelum ini bermain di India.
Skuad Malayan Tigress yang diundi dalam Kumpulan B, dijadual memulakan kempen mereka di Piala AFF Wanita 2024 dengan menentang Indonesia diikuti Kemboja di Stadium Nasional KM16, di Vientiane.
Berdasarkan format kejohanan melibatkan enam pasukan, peringkat kumpulan akan dimainkan dalam format liga sepusingan dengan empat pasukan teratas mara ke separuh akhir pada 2 Disember.
Dua pasukan yang menang akan bertemu di final manakala dua pasukan yang kalah akan bersaing dalam perlawanan penentuan tempat ketiga pada 5 Disember.