PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski yakin terhadap keupayaan pemain tempatan khususnya dalam kalangan generasi muda yang memiliki potensi besar untuk digilap ke tahap lebih tinggi.
Menurut jurulatih dari Australia itu, beliau berpeluang menyaksikan sendiri kualiti dimiliki pemain-pemain muda ketika menonton perlawanan Liga Super dan percaya ini masa terbaik untuk Malaysia memberi tumpuan kepada pembangunan akar umbi.
“Saya sangat percaya pemain Malaysia ada bakat. Saya cukup bertuah dapat menonton banyak aksi Liga Super dan saya nampak sendiri kemampuan mereka, terutama pemain-pemain muda.
“Kita perlu cari jalan untuk memberi peluang kepada mereka berkembang di peringkat remaja. Kalau aspek ini diberi perhatian serius, ia bukan sahaja menguntungkan kelab-kelab, tapi juga skuad kebangsaan dalam jangka masa panjang,” katanya.
Cklamovski turut menegaskan bahawa masih ada ruang yang perlu diperbaiki dalam bola sepak tempatan, namun segalanya harus bermula dengan membentuk mentaliti harian yang betul dalam kalangan pemain.
“Memang ada aspek yang perlu ditambah baik dalam bola sepak Malaysia, tapi satu perkara yang saya yakin ialah pemain Malaysia memang berbakat.
“Saya berharap mereka sentiasa ada keinginan dan tekad untuk menjadi lebih baik setiap hari. Bakat mereka sudah ada, sekarang hanya perlu dipupuk dengan sikap yang betul.
“Saya juga tak sabar untuk terus menonton perlawanan dan melihat siapa yang sedang beraksi cemerlang. Harapnya akan ada lebih banyak aksi menarik untuk ditonton,” ujarnya.
Sebelum ini, isu mengenai nasib pemain tempatan terutamanya pemain muda menjadi perdebatan dalam kalangan peminat bola sepak negara susulan ketiadaan ruang mencukupi untuk mereka beraksi di Liga Super.
Keadaan bertambah sukar selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memansuhkan Piala MFL sekali gus menutup salah satu platform utama pembangunan bakat muda dalam kalangan pasukan.
Ia menambahkan kesukaran kepada pembentukan skuad negara bawah 23 tahun dan ia menyumbang kepada kegagalan di saingan Piala ASEAN baru-baru ini selepas tersingkir seawal peringkat kumpulan sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan bola sepak negara.