Malaysia Airlines perluas rangkaian Asia Timur

Malaysia Airlines perluas rangkaian Asia Timur

Malaysia Airlines perluas rangkaian Asia Timur


PETALING JAYA: Malaysia Airlines mengukuhkan kedudukannya di pasaran Asia Timur melalui penyambungan semula perkhidmatan terus ke Fukuoka, Jepun serta pelancaran laluan baharu ke Shenzhen dan Changsha, China bermula Julai ini.

Langkah strategik itu menyaksikan rangkaian destinasi syarikat penerbangan nasional itu di China meningkat kepada sembilan pintu masuk utama, sekali gus menawarkan fleksibiliti perjalanan yang lebih besar buat penumpang.

Perkhidmatan ke Fukuoka (FUK) yang dijadualkan bermula pada 2 September 2026, menandakan kepulangan semula Malaysia Airlines ke destinasi tersebut selepas kali terakhir beroperasi pada September 2006.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, pengembangan ini mencerminkan fokus strategik kumpulan untuk meningkatkan skala kehadiran di pasaran pertumbuhan utama Asia Timur.

“Shenzhen dan Changsha sejajar dengan strategi rangkaian kami yang didorong oleh permintaan kukuh daripada segmen perniagaan dan santai. Manakala kepulangan ke Fukuoka pula memperkukuh kedalaman rangkaian kami di mana kami merupakan satu-satunya syarikat penerbangan yang mengendalikan penerbangan terus di laluan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain Asia Timur, Malaysia Airlines turut meningkatkan kekerapan penerbangan ke Brisbane, Manila dan Colombo bagi memenuhi permintaan yang kian meningkat. 

Syarikat itu juga akan mengendalikan penerbangan (sementara) ad-hoc Kuala Lumpur-London pada 18 dan 22 April ini bagi membantu penumpang yang terjejas akibat gangguan syarikat penerbangan Asia Barat baru-baru ini.

Dalam pada itu, sempena MATTA Fair 2026, MAG melancarkan “MAG Arena” seluas 46,000 kaki persegi yang diiktiraf oleh Asia Records dan ASEAN Records sebagai Pavilion Perdagangan Syarikat Penerbangan Terbesar di Asia.

Arena tersebut bukan sahaja menampilkan teknologi perjalanan generasi baharu, malah menjadi hos kepada aktivasi perkongsian sukan terbesar melibatkan kelab global seperti Manchester United serta ikon sukan negara, Datuk Azizulhasni Awang.

Melalui perluasan rangkaian dan peningkatan kekerapan ini, Malaysia Airlines terus memperkasakan kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab pintu masuk utama ke Asia, selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 dan matlamat menjadi antara 10 syarikat penerbangan terbaik dunia menjelang 2030.

Tiket bagi laluan baharu ke Shenzhen, Changsha, dan Fukuoka mula dijual hari ini.-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top