Malaysia Airports komited perangi aktiviti penyeludupan hidupan liar

Malaysia Airports komited perangi aktiviti penyeludupan hidupan liar


Kuala Lumpur: Keselamatan Penerbangan (AVSEC), pasukan di bawah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan lapangan terbang di seluruh negara berada pada tahap tertinggi.

Sebagai barisan hadapan dalam perlindungan infrastruktur penerbangan, AVSEC bertanggungjawab untuk mengawal keselamatan terminal, mengawasi kawalan akses, serta menjalankan pemeriksaan penumpang dan bagasi bagi mencegah sebarang ancaman.

Dengan mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), AVSEC berperanan untuk memastikan keselamatan lapangan terbang, namun begitu, AVSEC turut berusaha dalam membantu pihak berkuasa dalam menangani ancaman keganasan, penyeludupan dan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan operasi penerbangan.

Ini kerana terminal dan kawasan kargo yang sibuk di lapangan terbang bukan sahaja menjadi pusat perjalanan dan perdagangan antarabangsa, tetapi juga barisan hadapan dalam perjuangan menentang penyeludupan haiwan liar.

Selama bertahun-tahun, penyeludupan haiwan liar telah menjadi cabaran yang berterusan, dengan pihak tidak bertanggungjawab yang berusaha untuk membawa masuk spesies terancam dan haiwan eksotik melintasi sempadan.

Walaupun terdapat usaha yang signifikan daripada AVSEC dan pihak berkuasa lain, angka ini mengetengahkan cerita yang kompleks, kisah yang meliputi kemajuan dan kemunduran yang membimbangkan.

Pada 2023, trend membimbangkan penyeludupan haiwan liar melalui lapangan terbang kebanyakannya tidak dikesan, dengan hanya enam kes sahaja yang direkodkan.

Tahun berikutnya, menyaksikan peningkatan drastik dalam angka ini, dengan 13 kes penyeludupan haiwan liar yang berjaya meloloskan diri.

Manfaatkan kelemahan

Jelas bahawa penyeludup sedang menyesuaikan taktik dan modus operandi dengan memanfaatkan sebarang kelemahan dalam sistem.

Namun, hasil daripada usaha giat AVSEC bersama agensi kerajaan lain, kerjasama ini berjaya mengesan 12 kes penyeludupan haiwan liar pada 2024, sekali gus menunjukkan peningkatan kesedaran dan keberkesanan dalam menentang aktiviti haram itu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa berdepan cabaran berterusan dalam memantau dan menyekat aktiviti haram itu di mana sehingga Mac 2025, empat kes baru penyeludupan haiwan liar telah direkodkan.

Di sebalik cabaran yang tidak berkesudahan, AVSEC telah mengesan 18 kes dari 2023 hingga Mac 2025, satu pencapaian yang mengagumkan memandangkan sifat taktik penyeludupan yang sentiasa berubah.

Walaupun terdapat peningkatan dalam cubaan penyeludupan, AVSEC tidak menghadapi ‘perang’ ini sendirian.

Ia telah membentuk perkongsian penting dengan badan-badan kerajaan utama, termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Kastam Diraja Malaysia dan Biro Jenayah Hidupan Liar (WCB) Polis Diraja Malaysia.

Kerjasama ini telah mengukuhkan usahanya untuk memerangi penyeludupan haiwan liar keluar dan masuk ke Malaysia.

Salah satu kerjasama yang paling penting dimeterai pada 2024 apabila AVSEC membantu PERHILITAN dalam memintas beberapa cubaan penyeludupan haiwan liar.

Dalam operasi pada Disember 2024, dua serbuan telah dijalankan di Gudang Kargo Pos Penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), sebuah hab transit utama untuk kargo antarabangsa.

Antara haiwan liar yang berjaya dirampas daripada penyeludup.

Serbuan pertama menemui dua kotak yang telah diisytiharkan mengandungi haiwan liar, tetapi deklarasi berkenaan tidak lengkap, di mana hasil pemeriksaan mendapati terdapat 52 ekor monyet telah disembunyikan, manakala ejen kargo gagal memperoleh permit import yang diperlukan daripada PERHILITAN.

Serbuan kedua juga agak mengejutkan di mana dua kotak yang telah dilabelkan mengandungi tumbuhan, namun salah satunya mengandungi 17 ekor kura-kura Radiated, dibalut dengan teliti menggunakan tisu dan surat khabar, menjadikannya sukar dikesan dengan mata kasar. 

Jumlah anggaran nilai rampasan adalah RM255,000.

Pada 2024, sejumlah 55 operasi anjing pengesan K9 telah dilaksanakan oleh PERHILITAN dengan bantuan AVSEC membabitkan pemeriksaan teliti ke atas 142 penerbangan ke India, selain mengimbas 22,438 beg pakaian.

Bukan itu sahaja, tahun lepas, dalam usaha membendung kegiatan penyeludupan haiwan liar melalui jalan udara, Malaysia Airports telah menyumbang dua ekor anjing pengesan hidupan liar dari baka Belgian Malinois kepada PERHILITAN untuk membantu membanteras penyeludupan di KLIA.

Waspada, pantau aktiviti

Selain kerjasama dengan PERHILITAN, AVSEC juga membantu Biro Jenayah Hidupan Liar (WCB) Polis Diraja Malaysia dalam memintas penyeludupan 30 anak buaya dan 14 Penyu Mata India dalam operasi berasingan di KLIA. 

Nilai keseluruhan haiwan yang dirampas dianggarkan RM1.8 juta.

Sementara itu, AVSEC kekal berwaspada, sentiasa memantau dan menilai aktiviti penyeludupan haiwan liar.

Justeru, sebuah pasukan khusus telah ditugaskan untuk menangani isu ini secara langsung dan pasukan berkenaan telah bekerjasama rapat dengan semua pihak berkuasa berkaitan untuk meningkatkan kaedah pengesanan, perkongsian maklumat dan memperkemaskan operasi.

AVSEC terus komited dalam mencegah penyeludupan haiwan liar secara haram di lapangan terbang berterusan, sama ada melalui pengesanan aktif atau pencegahan cubaan penyeludupan secara masa nyata.

Pasukan itu menyatakan komitmen untuk terus menyokong agensi utama seperti PERHILITAN, WCB dan Kastam Diraja Malaysia memerangi pemerdagangan haram dan eksploitasi hidupan liar dunia.

Kesungguhan pasukan ini bukan sahaja memastikan perjalanan udara yang selamat bagi penumpang dan kru penerbangan, malah turut memperkukuh keyakinan global terhadap tahap keselamatan di lapangan terbang negara, sejajar dengan aspirasi Malaysia Airports dalam menjadikan Malaysia sebagai hab penerbangan bertaraf dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR